PAS bakal berdepan ujian getir PRU15


  • Politik
  • Jumaat, 28 Jan 2022

PAS perlu berhati-hati dengan percaturan politik yang sedang dirangka oleh rakan gabungan lain di dalam PN.

PILIHAN raya negeri (PRN) Johor memperlihatkan situasi kerjasama yang terjalin antara PAS dan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN), dianggap tiada beza dengan apa yang dilalui oleh Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Kampus Raub, Pahang, Dr Ilyas Abdullah berkata, situasi tersebut akan menyebabkan PAS berdepan ujian getir dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

"Situasi ini dilihat sebagai sesuatu yang memualkan untuk diikuti oleh rakyat yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah ekoran ancaman pandemik Covid-19," katanya kepada Majoriti.

Ilyas berkata, menyertai gabungan kerajaan yang tidak dipilih secara pilihan raya akan menjadi senjata kepada musuh untuk terus menyerang PAS dalam PRU15 nanti.

"Situasi politik pasca kejatuhan PH memperlihatkan terbentuknya perpaduan politik Melayu-Islam.

"Beberapa peristiwa yang berlaku membabitkan hal ehwal orang Melayu-Islam mempengaruhi proses kerjasama politik antara Umno dan PAS khususnya melalui Muafakat Nasional (MN).

"Keruntuhan PH juga berlaku di peringkat kerajaan negeri. Melalui jalinan kerjasama Umno-PAS, Kerajaan negeri Kedah berjaya diterajui oleh PAS.

"Bagaimanapun di sebalik kerjasama politik yang berlaku, PAS juga turut menjalin kerjasama politik bersama Bersatu yang membentuk PN," jelasnya.

Ilyas berkata, penubuhan kerajaan PN juga dilihat agak kurang stabil berikutan keengganan Umno-BN untuk menyertai gabungan PN dan hanya sekadar menjalin hubungan secara formal bersama PAS menerusi MN.

"Kerjasama politik yang terjalin dilihat agak kompleks. Umno-BN dilihat kurang mesra terhadap kehadiran Bersatu berbanding PAS yang terlibat dalam dua kerjasama iaitu PN dan juga MN.

"Bagaimanapun mutakhir ini, Umno juga dilihat lebih selesa untuk bergerak solo. Beberapa pimpinan Umno juga turut berulang kali menyatakan keyakinan bahawa mereka tidak perlukan PAS dalam menghadapi PRU15," katanya.

Katanya, kerjasama politik yang goyah di antara parti komponen dalam kerajaan PN khususnya melibatkan Umno dan Bersatu turut memberikan imej yang negatif terhadap kehadiran PAS dalam kerajaan meskipun parti itu tidak terlibat dalam sebarang bentuk perebutan jawatan dalam kerajaan.

"Seharusnya, PAS perlu berhati-hati dengan percaturan politik yang sedang dirangka oleh rakan gabungan lain di dalam PN.

"Pemimpin PAS juga harus mempunyai pendirian yang tetap dan konsisten dalam menghadapi sebarang krisis perebutan kuasa yang sedang berlaku.

"Hal yang seperti ini mampu untuk meningkatkan imej PAS sebagai parti yang bermaruah dan berprinsip," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram