POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki menjadi ejen bagi membawa masuk pendatang tanpa izin dari negara itu dengan melintasi sempadan Malaysia-Thailand secara haram, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M.Nasir berkata, susulan penahanan empat suspek itu, polis menemukan 24 lagi warga Myanmar yang terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita, disembunyikan di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus, Pasir Mas, Kelantan jam 1.20 pagi Sabtu.
Beliau berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki berumur 22 dan 24 tahun di Kampung Repek, Pasir Mas dan pemeriksaan polis mendapati nombor plat kereta berkenaan adalah palsu, manakala nombor casis didapati telah diganggu.
Menurutnya suspek berumur 24 tahun kemudiannya didapati positif dadah jenis Methamphetamin di samping mempunyai lima rekod jenayah lampau, dan hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku bertugas sebagai ‘penghantar’ yang mengambil warga asing Myanmar di pangkalan haram Lubok Gong, Pasir Mas untuk dibawa ke satu destinasi dalam negara.
"Suspek berusia 24 tahun juga mengaku bahawa hanya dia dan seorang adiknya yang mengenali seorang warga Myanmar yang dipanggil ‘Apik’, dalam urusan membawa masuk pendatang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Nasaruddin berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus dan berjaya menahan 24 warga Myanmar berusia sekitar 20 hingga 40-an, dan kira-kira jam 2.40 pagi, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun yang merupakan adik suspek berusia 24 tahun itu, di sebuan rumah tidak bernombor di Lubok Setol untuk siasatan lanjut.
"Suspek mengaku sudah 14 kali bertindak sebagai ‘penghantar’ dengan menerima arahan daripada "Apik" bagi mengangkut pendatang haram Myanmar. Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah tidak bernombor di Kampung Tasik, Rantau Panjang dan berjaya menahan suspek warga Myanmar dikenali sebagai "Apik" di luar rumah itu," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek warga Myanmar berusia 40-an itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) dan berperanan sebagai "ejen" membawa masuk pendatang Myanmar ke negara ini dengan mengupah penduduk tempatan sebagai penghantar.
Katanya kes akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram