Akta 265 tidak terpakai untuk penjawat awam — KSM


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jan 2022

GOLONGAN penjawat awam tidak termasuk dalam kumpulan pekerja yang tidak tertakluk di bawah Jadual Pertama Akta 265. — Gambar hiasan

AKTA Kerja 1955 (Akta 265) yang memperuntukkan majikan sektor swasta perlu memberi hari kelepasan am berbayar sebanyak 11 hari setiap tahun, tidak terpakai kepada penjawat awam.

Akta tersebut juga tidak terpakai kepada lain-lain golongan pekerja yang tidak tertakluk di bawah Jadual Pertama Akta 265.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan golongan pekerja di bawah Akta 265 adalah mereka yang bergaji RM2,000 ke bawah.

Di bawah Akta 265 menyatakan daripada jumlah keseluruhan 11 hari tersebut, lima hari kelepasan am yang wajib diambil termasuklah Hari Wilayah Persekutuan oleh majikan yang tempat pekerjaannya terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Baki enam hari lain boleh dipilih daripada majikan dalam senarai hari kelepasan am sebagaimana Jadual Pertama Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369].

Dalam Jadual Pertama tersebut, Tahun Baharu Cina merupakan hari kelepasan am iaitu sebanyak dua hari bagi negeri-negeri lain kecuali Kelantan dan Terengganu.

"Pada tahun ini, kedua-dua hari kelepasan am ini bertindih pada 1 Februari. Seksyen 60D Akta 265 juga menyatakan bahawa sekiranya cuti umum tersebut jatuh pada hari sama, maka hari berikutnya adalah merupakan hari kelepasan am berbayar.

"Justeru, bagi pekerja di sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, jika majikan memilih dan menyenaraikan Tahun Baharu Cina sebagai satu daripada hari kelepasan am syarikat, maka majikan adalah wajib memberikan cuti pada Khamis (3 Februari)," menurut kenyataan itu.

KSM menyatakan bagi majikan yang tidak menyenaraikan perayaan Tahun Baharu Cina sebagai hari kelepasan am yang diambil, mereka perlu memberikan hari kelepasan am berbayar bagi Hari Wilayah sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram