BERANG diberi notis tidak mematuhi amalan kebersihan, seorang pemilik premis makanan bertindak mengacukan dua batang kapak terhadap anggota penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sebuah pusat perniagaan makanan di Kampung Koh, Lumut, Perak pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, lelaki berumur 56 tahun itu turut menghamburkan kata-kata kesat terhadap anggota penguatkuasa terlibat.
Ketua Polis Daerah Manjung Asistan Komisioner, Nor Omar Sappi berkata, kejadian dipercayai berlaku, apabila peniaga tersebut tidak berpuas hati diberi notis berkenaan dari pihak KKM, yang datang membuat penguatkuasaan pemantauan premis makanan dan mendapati berlaku pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan.
"Pihak penguatkuasa KKM mengeluarkan notis tersebut kerana premis makanan lelaki itu didapati tidak bersih, selain dia juga berkuku panjang dan memakai cincin ketika menjalankan perniagaan.
"Lelaki itu kemudian mengeluarkan dua batang kapak dari simpanannya sebelum mengacukan kepada anggota KKM itu, sebelum mereka bertindak beredar dari lokasi dan membuat laporan di Balai Polis Sitiawan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di Lumut, Perak pada Khamis.
Nor Omar berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan akan menahannya dalam masa terdekat, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, serta Seksyen 186 Kanun sama iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram