Kebenaran guru berpolitik agenda peribadi PM — Shafiq


  • Politik
  • Sabtu, 22 Jan 2022

PERDANA Menteri pada Sabtu mengumumkan kebenaran kepada semua guru sekolah dan petugas Kemas di seluruh negara untuk berpolitik. — Gambar hiasan/Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa mempunyai agenda tersendiri berikutan kenyataannya yang membenarkan guru-guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berpolitik.

Ahli Jawatankuasa Jabatan Penerangan Bersatu Malaysia (JPBM), Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, tindakan Ismail itu jelas hanya mahu menjadikan kedua-dua penjawat awam itu sebagai jentera politik partinya.

"Kenapa beliau hanya membenarkan petugas Kemas dan Guru berpolitik? Sudah tentu ada agendanya bukan.

"Sudah sekian lama petugas Kemas dan guru-guru menjadi alat Umno apabila pilihan raya dijalankan.

"Guru kemas adalah ejen culaan bagi mengumpul maklumat di lakoliti tertentu manakala guru-guru yang lain adalah kerani SPR semasa proses kiraan undi berlaku, mereka boleh tidak membenarkan PACA (ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi) protes undi," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya tidak boleh menggunakan penjawat awam tertentu sebagai jentera politik mereka.

Tambah Mohamad Shafiq, penjawat awam lain harus diberikan ruang sama untuk melibatkan diri dalam politik bagi membentuk Negara Bangsa.

Ismail pada Sabtu mengumumkan kebenaran kepada semua guru sekolah dan petugas Kemas di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.

Menurutnya, beliau akan meminta Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengeluarkan pekeliling berkenaan perkara itu dengan segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram