KEBENARAN berpolitik yang diberikan kepada guru perlu dijaga dengan bijak supaya tidak dicampur aduk antara tugas serta kepentingan politik kepartian.
Pensyarah dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, satu kenyataan rasmi yang jelas mestilah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap pendidik dengan kadar segera.
Dr Anuar Ahmad bersetuju dengan keputusan kerajaan membenarkan guru terlibat dengan politik. — Facebook
"Kenyataan rasmi itu perlu diberikan supaya semua pihak seperti pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa faham implikasi kebenaran berpolitik dalam kalangan guru kepada pendidikan anak-anak mereka.
"Sebaiknya, agensi berkaitan perkhidmatan awam juga melakukan penambahbaikan kepada garis panduan termasuklah melakukan semakan kepada dokumen Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib-P.U.(A) 395 sebagai panduan para guru yang ingin terlibat aktif dalam politik," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan para guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk terlibat dalam aktiviti politik.
Sebelum ini, pada 8 Disember 2021, KPM melalui pejabat Ketua Setiausahanya telah mengeluarkan surat pekeliling arahan yang membatalkan kelulusan penglibatan penjawat awam di dalam politik bagi warga KPM termasuklah para guru.
Keputusan terbaharu oleh kerajaan menimbulkan tanda tanya kepada warga pendidik kerana sebelum ini, tidak ada sebarang kenyataan dari mana-mana pihak yang membantah larangan berpolitik dalam kalangan guru.
Dalam pada itu, Dr Anuar berkata, dia sebagai pemerhati pendidikan negara menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan para guru terlibat dalam politik.
"Malah sejarah negara kita membuktikan golongan guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris telah banyak menyumbang dalam bentuk penulisan dalam akhbar untuk memberikan kesedaran pada kejayaan rakyat menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan negara.
"Malah golongan guru adalah barisan hadapan dalam kejayaan memansuhkan pelaksanaan Malayan Union pada 1948," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram