Lepas jawatan jika mahu berpolitik — Cuepacs


  • Massa
  • Ahad, 23 Jan 2022

KERAJAAN pada Sabtu mengumumkan kebenaran kepada kesemua guru sekolah serta petugas Kemas di seluruh negara untuk berpolitik. — Gambar hiasan/Bernama

PENJAWAT awam yang mahu terlibat secara langsung dalam politik atau ingin menjadi calon sesebuah parti disaran supaya meletakkan jawatan yang disandang terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ia bagi mengelakkan sistem pentadbiran awam dilihat sebagai memihak kepada parti politik tertentu yang akan memburukkan imej penjawat awam.

"Pihak kami berpendapat bahawa penglibatan penjawat awam dalam politik tidak wajar ditunjukkan secara langsung kerana impaknya amat besar dan memberi kesan terhadap penjawat awam itu sendiri.

"Contohnya ketika 2018 apabila parti memerintah berubah, penjawat awam dipersalahkan dan pekerja kontrak menjadi mangsa keadaan," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi kebenaran kepada kesemua guru sekolah serta petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara untuk berpolitik.

Garis panduan

Menurut Adnan, pihaknya menyambut baik pengumuman tersebut tetapi satu garis panduan yang jelas harus diwujudkan supaya ia tidak memberi kesan kepada sistem perkhidmatan awam kelak.

Tambahnya, kerajaan juga harus mewujudkan satu peraturan yang boleh 'mengikat' perkhidamatan penjawat awam supaya kelangsungan mereka sebagai kakitangan kerajaan tetap terjamin apabila berlaku perubahan di tampuk pemerintahan.

Jelasnya, perkara itu adalah penting terutama bagi penjawat awam yang berstatus kontrak kerana mereka berisiko tinggi untuk hilang jawatan apabila perubahan kerajaan berlaku.

"Jika mereka berpolitik sudah tentu mereka akan berpihak kepada parti tertentu, dan sekiranya parti yang mereka sokong tidak menjadi kerajaan, ia akan jadi masalah kepada penjawat awam tersebut.

"Jadi adalah lebih baik jika kerajaan jelaskan setakat manakah keterlibatan guru dan petugas Kemas dibenarkan dalam politik," tegasnya.

Pisang berbuah dua kali

Dalam pada itu, Kesatuan Kakitangan Kemas Semenanjung Malaysia (Kesateria) meluahkan kembimbangan kakitangannya akan diarahkan bekerja untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Menurut kesatuan itu, pihaknya tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila kakitangannya pernah dituduh membantu kerajaan terdahulu ketika berlaku perubahan kerajaan.

"Untuk kebenaran berpolitik, kami amat mengalu-alukan tetapi disebabkan status kakitangan Kemas adalah kontrak, ia menyebabkan penganiayaan terhadap kakitangan kami yang diugut akan diberhentikan.

"Kami amat berharap supaya semua anggota Kemas diberikan taraf tetap supaya semua guru-guru boleh berpolitik tanpa ragu-ragu lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram