TREND mempersendakan suntikan dos penggalak Covid-19 atau troll di media sosial dipercayai menjadi satu daripada punca orang ramai kurang berminat untuk mengambil vaksin tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, setakat ini dos penggalak adalah mencukupi namun kurang mendapat sambutan berbanding suntikan vaksin Covid-19 sebelum ini.
"Ramai yang terlibat dalam troll dengan mendakwa dos penggalak ini merosakkan (kesihatan badan), mereka buat main-main, sedangkan dos itu diberikan berdasarkan kajian demi kajian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini sebaik mungkin.
"Kita berharap supaya pihak terlibat menghentikan tindakan mereka supaya usaha kerajaan menghentikan jangkitan Covid-19 dapat dilakukan sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas menyertai Operasi Tahun Baharu Cina 2022 (Ops Hu - Harimau) Jabatan Kesihatan Perak di sebuah pasar raya di Lumut, Perak pada Jumaat.
Mohd Akmal berkata, hanya 42 peratus atau kira-kira 711,000 individu dewasa di Perak yang telah mengambil dos penggalak, setakat 26 Januari lepas.
Katanya, ia jauh berkurangan berbanding mereka yang mengambil dos pertama vaksin iaitu sebanyak 75 peratus atau hampir 1.8 juta orang manakala dos kedua atau lengkap sebanyak 74 peratus.
Mengulas mengenai Ops Hu - Harimau bermula 16 Januari lepas hingga Ahad nanti, Mohd Akmal berkata, sehingga Jumaat sebanyak 231 premis di negeri itu sudah diperiksa.
Daripada jumlah itu, sebanyak 141 notis dikeluarkan dan kompaun bernilai RM31,400 ditawarkan kepada peniaga terlibat.
"Sebanyak 41 premis makanan turut diperiksa dengan tujuh notis dikeluarkan manakala nilai kompaun berjumlah RM23,500 ditawarkan kepada peniaga terlibat.
"Antara kesalahan dilakukan oleh peniaga makanan ialah ada yang tidak divaksin, tidak menghadiri kursus diwajibkan, memakai cincin atau perhiasan diri yang boleh memudaratkan makanan, tidak memakai apron serta aspek kebersihan premis," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram