'PERBALAHAN' antara pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim kian berpanjangan di media sosial.
Kedua-dua pihak dilihat berbalas komen di media sosial selepas temubual Tunku Ismail bersama media tempatan pada Khamis.
Pada temubual berkenaan, Tunku Ismail mendakwa Teong Kim tidak layak untuk membimbing pasukan senior kebangsaan selain meminta gaji yang terlalu tinggi.
Teong Kim kemudiannya menafikan segala kenyataan yang dikeluarkan Tunku Ismail di media sosial.
"Saya nak tanya Tunku, did I apply for the national job? For your info. Guardiola and Thomas Tuchel also started from youth teams and many more coaches in Europe. And I am qualified UEFA professional licence holder (adakah saya memohon menjadi jurulatih kebangsaan? Untuk pengetahuan, Guardiola dan Thomas Tuchel juga bermula sebagai jurulatih skuad belia, begitu juga dengan ramai lagi jurulatih lain di Eropah. Saya juga memiliki lesen jurulatih profesional UEFA)," ujarnya menerusi komen di Instagram.
Malahan Teong Kim turut kesal kerana konteks pertemuan beliau bersama Tunku Ismail seolah-solah disampaikan dengan cara 'kurang baik'.
"Saya dijemput dua kali oleh TMJ (Tunku Ismail), kami mempunyai perbualan yang baik dan bercakap tentang bola sepak Malaysia.
"Malangnya beberapa konteks perbualan itu disampaikan dengan cara kurang tepat. Sangat kesal apabila kami seolah-olah tidak sependapat," ujarnya di Instagram.
Tampil memberi penjelasan berkenaan isu tersebut, Tunku Ismail menjawab segala persoalan menerusi bebenang ciapan di Twitter miliknya.
“Berkenaan Teong Kim, saya ditanya pendapat mengenai Teong Kim sebagai calon Jurulatih NT (national team/pasukan kebangsaan) yang baharu. Jadi saya jawab dan memberi pendapat saya, termasuk gaji yang diminta untuk menjadi coach pembangunan JDT. Kalau Teong Kim nak menafikan, saya ada saksi.
“Kalau nak bercerita mengenai lesen jurulatihan, jurulatih fitness dan conditioning JDT pun ada lesen pro UEFA.
"Akhir sekali kepada semua, jangan putar belit apa yang saya katakan. Lihat semula temubual tersebut dan dengar apa yang dimaksudkan kerana benda itu semua tak susah untuk difahamkan. Kalau masih tak faham, semoga berjaya!,” tambah beliau lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram