Airaz Technologies sasar tiga negara eksport


  • Bizz
  • Khamis, 27 Jan 2022

AZRUL Izzam (dua kanan) bergambar kenangan bersama pemenang tempat kedua dan ketiga program SAY ASPIRE pada Khamis.

PEMENANG tempat pertama Program Selangor Youth Community (SAY) ASPIRE, syarikat pakaian sukan Muslimah, Airaz Technologies Sdn Bhd mahu memanfaatkan ganjaran yang dimenangi dengan mengukuhkan jenama Innersejuk keluaran syarikat itu melalui penembusan jualan ke pasaran luar negara.

Pengarah Urusannya, Azrul Izzam Kamarul Zaman berkata, pihaknya menyasarkan tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu memandangkan negara tersebut merupakan pintu utama kepada pasaran barangan Muslimah ke seluruh dunia.

Beliau berkata, negara-negara berkenaan juga memiliki populasi penduduk Muslim yang ramai dengan dianggarkan kira-kira 7.3 juta penduduk Muslim di Timur Tengah, Perancis (4 juta orang) dan Amerika Syarikat (3.4 juta orang) sekali gus menterjemahkan permintaan tinggi pelanggan terhadap produk pakaian sukan yang selesa dan patuh syariah.

"Di Eropah, kami juga pelanggan dari Itali dan Venezuala, jadi dengan kemenangan ini kami harap dapat menembusi lebih banyak pasaran luar negara dan memberi keselesaan untuk bertudung kepada lebih ramai wanita Muslim di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas program Pitch Finale Edisi Ketiga SAY ASPIRE pada Khamis.

Pada program itu, sebanyak 10 syarikat terpilih menyertai sesi pitching atau pembentangan akhir dengan diadili panel juri terdiri daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Selain itu ialah pakar eksport dari Malaysian Exports Academy, Datuk Zakaria Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof.

R6LA3992

AZRUL Izzam menyifatkan program SAY ASPIRE memberi latihan strategi eksport kepada peserta.

Sementara itu, Azrul Izzam berkata, program sedemikian harus dipergiatkan pada masa depan bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk mendapatkan bimbingan dan latihan strategi eksport daripada pakar bertauliah serta berpengalaman luas dalam bidang tersebut.

"Kalau kita lihat pada hari ini sahaja kita sudah nampak ada 10 syarikat bertaraf dunia, pasti banyak lagi syarikat lain berpotensi di Selangor dan mungkin seluruh Malaysia.

"Cuma mungkin mereka belum berpeluang mendapat akses kepada apa yang mereka perlukan seperti bantuan kewangan, coaching (bimbingan) dan sebagainya.

"Jadi program seperti SAY ASPIRE dapat memberi peluang kepada lebih ramai usahawan tampil ke hadapan untuk membantu mereka melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa," katanya.

Berhubung kemenangan Airaz Technologies Sdn Bhd menyaingi sembilan syarikat lain dalam sesi pitching akhir SAY ASPIRE, Azrul Izzam berkata, pengalaman selama tiga tahun dalam aktiviti eksport ke Singapura dan Brunei mungkin memberi kelebihan kepada mereka.

"Syarikat-syarikat lain yang ada hari ini juga bagus-bagus dan memberi saingan sengit kepada kami. Namun, syukur kepada ALLAH kerana rezeki berpihak kepada kami walaupun pertama kali menyertai pertandingan sebegini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram