Polis siasat majlis langgar SOP libat ahli bisnes, politik


  • 112
  • Selasa, 18 Jan 2022

ANTARA ahli perniagaan dan politik yang hadir dalam majlis pelancaran produk pada Isnin.

POLIS sedang menyiasat dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara di sebuah majlis pelancaran produk melibatkan ahli perniagaan dan ahli politik pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan itu susulan satu laporan polis yang dibuat pada Isnin berikutan penularan gambar tetamu di majlis berkenaan yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

"Kita telah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan serta para tetamu yang hadir di majlis itu.

"Mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohamad Fakhrudin, penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, tular di media sosial pada Isnin beberapa gambar ahli perniagaan terkenal dan ahli politik yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di sebuah majlis pelancaran produk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram