TULAR di laman Twitter satu video mendakwa pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia dengan mudah memasuki Malaysia dengan hanya berbekalkan wang suapan RM50 hingga RM100.
Pendedahan itu dikatakan dibuat oleh wartawan Indonesia yang menyamar sebagai Pati dengan cuba menyusup masuk ke Sabah melalui Tawau.
Rakaman itu kemudian dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter menggunakan nama @nanmanjoi8715 melalui dua hantaran tweet berbeza pada 22 Januari lalu.
Dia turut berkongsi pautan video penuh di laman Facebook Kongsi Segala Info.
Setakat Rabu (26 Januari 2022), video itu telah mendapat sejumlah 510,000 tontonan di Twitter.
Menerusi video tersebut, wartawan tersebut mendedahkan bahawa perairan Sabah hanya boleh dimasuki dengan menggunakan kapal kecil atau sederhana.
"Sepanjang perjalanan menuju Tawau, rombongan Pati sempat dihalang oleh pihak polis Malaysia.
"Bagaimanapun kapal ini selalu lolos daripada pemeriksaan (polis). Kami menduga, sudah ada wang suapan yang disediakan pemilik kapal kepada petugas," dakwanya.
Dakwa wartawan itu lagi, sepanjang perjalanan itu juga, penumpang kapal diwajibkan menundukkan kepala terutama ketika memasuki perairan Malaysia.
"Pati juga sempat diminta berpindah kapal untuk bersembunyi. Ada satu kapal nelayan yang digunakan khusus untuk menyembunyikan Pati jika ada petugas (keselamatan) melintas," katanya.
Rakaman itu kemudian menunjukkan beberapa Pati berpindah ke sebuah lagi kapal nelayan lain seperti yang dilaporkan pemberita tersebut.
"Ketika memasuki kapal nelayan untuk bersembunyi, kami bertemu dengan lebih ramai Pati lain yang dipercayai tiba lebih awal.
"Perjalanan juga harus menunggu kepastian sampai jalan tikus sudah aman. Apabila dirasakan saman barulah Pati ini berpindah perahu menuju sebuah kawasan di Tawau, Malaysia.
"Pemindahan mereka sengaja dilakukan secara berkelompok oleh 'pengurus' yang membawa Pati ini. Mereka juga perlu membuat pembayaran terlebih dahulu," katanya.
Wartawan itu kemudian mendedahkan bahawa daerah Tawau menjadi 'lubuk' pendaratan Pati dari Indonesia dengan mendakwa terdapat ratusan perahu yang menurunkan mereka di lokasi terbabit.
Empat lokasi yang didedahkan adalah Jalan Batu, Jalan Kalabakan, Jalan Sungai Udin dan Jalan Fui.
Sementara itu, semakan Majoriti mendapati video tersebut adalah video lama yang kembali tular.
Difahamkan, kejadian itu disyaki berlaku pada tahun 2016 dan rakaman tersebut juga dipercayai terbitan TransMedia Indonesia.
Ketua Polis Daerah Tawau ketika itu adalah Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus yang kini merupakan Ketua Penolong Pengarah (D7C) Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram