Lebih 30 tahun duduk Malaysia, lelaki Iran dalang sindiket dokumen palsu


  • 112
  • Jumaat, 21 Jan 2022

ANTARA barangan dan wang tunai yang dirampas — JIM

SATU sindiket pemalsuan dokumen dan pasport antarabangsa berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), susulan penahanan seorang lelaki warga Iran pada Rabu lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek berusia 58 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket itu, ditahan dalam satu operasi khas di sebuah premis perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara.

“Hasil semakan lanjut mendapati, lelaki ini telah tinggal di Malaysia lebih 30 tahun dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan merupakan suami kepada seorang wanita warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, lelaki itu sedang menyerahkan dokumen yang telah dipalsukan kepada pelanggan di luar premis berkenaan, dan siasatan lanjut telah membawa kepada serbuan di sebuah pangsapuri yang terletak di Bandar Baru Ampang, yang dijadikan tempat menyimpan dan memalsukan dokumen.

template (61)

SUSPEK tinggal di Malaysia lebih 30 tahun dengan menggunakan pas lawatan sosial. — JIM

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya turut menemui lapan pasport antarabangsa pelbagai negara, 29 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang belum dicetak dan dipercayai palsu, cop ‘keluar’ Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai palsu, pelbagai jenis cop, sebuah laptop dan sebuah mesin pencetak, selain 24 keping lesen memandu antarabangsa serta wang tunai sebanyak RM4,000.

“Kesemua barang yang dirampas dipercayai berkait dengan aktiviti sindiket ini. Modus operandi sindiket adalah dengan menyasarkan pelanggan warga asing, khususnya warga Iran yang ingin mendapatkan pas dan dokumen untuk tinggal dalam negara ini,” jelasnya.

Khairul Dzaimee berkata, bayaran yang dikenakan bagi setiap pas yang dipalsukan antara RM300 hingga RM500 sekeping, yang akan dibuat secara dalam talian ke akaun bank pihak ketiga yang bersubahat dengan dalang tersebut.

Katanya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun dan berselindung di sebalik perniagaan menjual kain cadar tilam, berdasarkan iklan yang diletakkan di hadapan premis yang diserbu.

“Ini merupakan kes sindiket pertama yang melibatkan warga Iran sebagai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen. Suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

suspek, pemalsuan, dokumen, JIM, sindiket