Majoriti jalin kerjasama dengan Perkeso


  • Primer
  • Khamis, 20 Jan 2022

MOHAMMED Azman (dua dari kiri) menukar dokumen MoU dengan Alex Yeow menerusi kerjasama antara Majoriti dan Perkeso. Berdiri di sebelah paling kiri adalah Izad Haji Raya, manakala paling kanan adalah Eng Lee. — The Star

PORTAL Majoriti, portal baharu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pembaca pada Khamis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bertempat di Menara Perkeso, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

MoU itu dimeterai bagi menawarkan kandungan menarik dan faedah eksklusif kepada para pembaca portal itu daripada kalangan pencarum Perkeso.

Dengan matlamat untuk menyampaikan laporan berita berkaitan isu semasa, Majoriti bersedia menyediakan naratif menarik yang mencetuskan perbualan, sambil membawa nilai tambah kepada pembacanya bersama rakan kongsi strategik mereka.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif, Alex Yeow.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Komunikasi Perkeso, Izad Haji Raya dan Ketua Produk Majoriti, Chung Eng Lee.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Eng Lee berkata, Majoriti mengagumi usaha Perkeso yang sentiasa komited untuk menambahbaik mutu perkhidmatan kepada pencarumnya, di samping hasrat itu sejajar dengan matlamat Majoriti iaitu untuk membawa nilai tambah kepada pembaca.

Beliau berkata, Majoriti bersedia menyantuni orang ramai dengan membawakan pelbagai berita penting menerusi kerjasama dengan Perkeso.

Katanya, hal ini kerana Perkeso adalah sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyedia dan mentadbir perlindungan keselamatan sosial kepada lebih tujuh juta pekerja di seluruh negara.

"Kami berharap pencarum Perkeso dapat menikmati pelbagai tawaran bermanfaat daripada kerjasama ini. Kami amat teruja kerana Perkeso bersetuju menjadi sebahagian daripada perjalanan awal Majoriti.

"Kami juga berharap dapat meneroka lebih banyak cara untuk memberi ganjaran kepada pembaca kami," katanya.

Sementara itu, Izad Haji Raya berkata, kerjasama promosi antara Majoriti dengan aplikasi mudah alih terbaharu daripada Perkeso iaitu Aplikasi Prihatin Perkeso merupakan suatu pendekatan yang menarik dan tepat pada masanya.

Beliau berkata, Perkeso berhasrat untuk menjadikan Aplikasi Prihatin Perkeso sebagai salah satu aplikasi mudah alih yang versatil dengan pelbagai fungsi.

Jelasnya, aplikasi itu bukan sahaja menawarkan kemudahan untuk mendapatkan pelbagai informasi terkini mengenai caruman, malah ia juga boleh digunakan oleh para pencarum untuk mendapatkan info terkini mengenai Perkeso dan caruman mereka.

"Ini termasuk memohon dan mendaftarkan diri dalam pelbagai inisiatif dan program yang kami laksanakan.

"Dengan segala tawaran dan nilai tambah menarik kepada Majoriti yang akan dibawakan melalui aplikasi ini nanti, para pencarum pastinya akan memperoleh manfaat yang lebih meluas hasil daripada kerjasama ini," katanya.

Menggunakan tagline Refleksi Tanpa Prejudis, manifesto Majoriti berkisarkan tentang penyediaan berita dan pandangan tidak berat sebelah kepada orang ramai.

Majoriti kini mula menjalinkan kerjasama dengan beberapa rakan kongsi bagi meneruskan usahanya untuk membawakan pelbagai tawaran menarik.

Untuk maklumat lanjut mengenai Majoriti, orang ramai boleh melayari laman web majoriti.com.my, manakala untuk Perkeso, layari laman sesawang http://www.perkeso.gov.my atau hubungi Careline Perkeso 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram