PORTAL berita Majoriti pada Khamis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat peruncitan terkemuka, AEON CO. (M) BHD. (AEON) bertempat di AEON Mall, dekat Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.
Kerjasama itu bertujuan membawa pelbagai tawaran menarik dan eksklusif kepada pembaca serta pelanggan.
Ia juga sekali gus menandakan permulaan kerjasama baharu antara kedua-dua entiti tersebut.
MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif, Alex Yeow.
Pertukaran MOU antara Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Shafie Shamsuddin (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Alex Yeow pada Khamis.
Turut hadir menyaksikan acara bersejarah itu adalah Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Low Ngai Yuen, Ketua Produk Majoriti Chung Eng Lee serta Timbalan Pengarah Urusan AEON Tsutomu Motomura.
Bercakap mengenai kerjasama ini, Eng Lee berkata, AEON berkongsi hasrat sama untuk membawa nilai tambah kepada pelanggan setia mereka.
Beliau berkata, Majoriti bersedia untuk menyantuni orang ramai dengan membawa berita-berita penting, selain berharap mereka akan menemukan tawaran-tawaran bersesuaian bagi memenuhi gaya hidup mereka melalui platform portal ini.
“AEON ialah rakan kongsi hebat yang meletakkan pelanggan mereka di barisan hadapan. Kesudian AEON untuk menyertai Majoriti dalam perjalanan yang masih awal ini memberi makna mendalam kepada kami.
"Selain kadar langganan istimewa Majoriti dengan kadar hanya RM10 setahun, pemegang kad AEON juga bakal menikmati tawaran eksklusif yang hanya tersedia melalui platform Majoriti.
“Kami teruja untuk bekerjasama dalam meneroka lebih banyak cara untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami,” katanya.
Sementara itu, Ngai Yuen berkata, pihaknya memahami kehendak pelanggan serta mahu memenuhi keperluan mereka melalui pengembangan tawaran menerusi platform Majoriti.
“Sebagai rakan kongsi, kami amat teruja dengan hala tuju berita dan kandungan platform Majoriti, kerana ini membuka peluang bagi memanfaatkan ekosistem kami.
“Selain daripada tawaran khas langganan bersubsidi bagi mendapatkan berita eksklusif untuk pelanggan AEON, kami juga sedang berusaha membawa kepelbagaian promosi bagi pelanggan terawal, agar dapat melebihi keperluan membeli-belah dan barangan runcit pelanggan kami,” katanya.
Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Low Ngai Yuen (kiri) dan Ketua Produk Majoriti Chung Eng Lee selepas menandatangani MoU di AEON Mall Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebagai portal berita bahasa Malaysia baharu yang memfokuskan penyediaan laporan berita berkaitan isu semasa, Majoriti bersedia untuk menyediakan naratif menarik yang mencetuskan perbualan sambil membawa nilai tambah kepada pengguna bersama rakan kongsi strategik mereka.
Menggunakan tagline Refleksi Tanpa Prejudis, manifesto Majoriti berkisarkan tentang penyediaan berita dan pandangan tidak berat sebelah kepada orang ramai.
Majoriti kini mengorak langkah untuk meluaskan kerjasama dengan rakan kongsinya bagi menyediakan pelbagai tawaran menarik antara satu sama lain.
Bagi mengaktifkan langganan Majoriti, AEON akan menghantar kod promosi yang diperibadikan kepada semua ahli AEON.
Orang ramai boleh melayari laman web majoriti.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Majoriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram