PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membuat pembayaran faedah berjumlah RM1.3 juta terhadap 764 kes kemalangan melibatkan penghantar makanan di seluruh negara setakat ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, bayaran faedah itu termasuk ketegori hilang upaya sementara dan kekal, faedah perubatan dan orang tanggungan, selain faedah pengurusan mayat.
Sehubungan itu, Awang berkata, kementeriannya menggalakkan individu yang bekerja sendiri yang menghantar makanan agar mencarum dengan Perkeso supaya kebajikan sosial mereka terjamin menerusi pemberian faedah berkenaan.
"Jadi, tentulah sudut perlindungan dari segi kebajikan perlu kita beri perhatian, sebab dalam apa kerja pun dalam dunia ini ada risiko, jadi risiko inilah kita beri tumpuan," katanya kepada pemberita di Kampung Sukamari, Pendang, Kedah pada Ahad.
Terdahulu, Awang menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan Hussain Mohamad Danial, 25, yang terlibat kemalangan semasa dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan pada Jun tahun lepas.
Mengulas lanjut, Awang berkata, proses mendapatkan tuntutan tidak mengambil masa lama iaitu antara dua atau tiga bulan sekiranya semua dokumen yang diperlukan telah lengkap.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 2.38 juta orang bekerja sendiri (OBS) di seluruh negara akan mencarum dengan Perkeso tahun 2022.
Setakat ini, hanya 15.03 peratus atau 358,214 OBS telah mencarum dengan agensi tersebut, katanya.
Dalam pada itu, Awang berkata, lebih 12,000 aduan pekerja terhadap majikan direkodkan kementerian menerusi aplikasi 'Working For Workers' (WFW) sejak ia dilancarkan pada Mei tahun lepas.
"Daripada jumlah itu, kementerian telah menyelesaikan lebih 60 peratus kes aduan terbabit, manakala selebihnya sedang disiasat dan diambil tindakan," katanya.
Terkini, menurut Awang, pihaknya turut menerima aduan mangsa banjir dibuang kerja oleh majikan kerana tidak hadir bekerja dengan alasan banjir.
Katanya, siasatan terhadap aduan mangsa banjir itu sedang dijalankan bagi memberi keadilan kepada mereka. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram