Stor rumah anak yatim di Setapak musnah terbakar


  • 112
  • Isnin, 17 Jan 2022

KEJADIAN kebakaran melibatkan stor rumah anak yatim di Setapak, Kuala Lumpur.

SEBUAH stor penyimpanan barang di rumah anak yatim di Jalan Air Mawar 1, Taman Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sentul, BPP Jalan Tun Razak, BPP Wangsa Maju, BPP Hang Tuah dan BPP Sentul dengan kekuatan 26 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.31 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, kesemua penghuni di banglo dua tingkat yang dijadikan rumah anak yatim itu telah dikeluarkan oleh penjaga rumah anak yatim berkenaan.

"Seramai 12 kanak-kanak lelaki, 20 kanak-kanak perempuan, tiga wanita dewasa dan dua lelaki dewasa berada di rumah berkenaan semasa kejadian. Mereka semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian dan berjaya dipadamkam sepenuhnya pada 3.30 pagi. Operasi tamat pada 5.48 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram