Tunjuk jari tengah, pemandu Bezza biadab potong 'Q' guna laluan kecemasan


  • Tular
  • Khamis, 06 Jan 2022

TANGKAP layar aksi pemandu Perodua Bezza (kiri) menunjukkan jari tengah kepada pemandu Perodua Myvi.

SIFAT sabar seseorang ada batasnya sehingga ia boleh berakhir apabila individu tersebut memandu secara semberono di tengah-tengah kesesakan jalan raya.

Baru-baru ini, seorang pemandu bertindak biadab apabila memotong barisan menggunakan lorong kecemasan, dekat Lebuhraya Persekutuan di ibu negara.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.47 petang Rabu itu, pemandu Perodua Bezza tersebut turut menunjukkan jari tengah kepada pemandu Perodua Myvi di hadapannya.

Ia berikutan pemandu itu berang apabila pemandu Perodua Myvi berkenaan enggan memberi laluan kepadanya untuk memotong ketika jalan raya masih lagi sesak.

Aksi tunjuk jari tengah itu terjadi ketika pemandu Perodua Bezza tersebut berjaya memotong laluan Perodua Myvi.

Video yang diambil menggunakan kamera perakam video atau dashcam itu kini tular di media sosial.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, umum mengetahui bahawa lorong kecemasan dikhaskan untuk kenderaan pihak berkuasa sekiranya ada berlaku hal kecemasan, selain ruang untuk pengguna lebuh raya berhenti sekiranya kenderaan mereka rosak.

Menurut undang-undang, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu berkata, memang menjadi satu kesalahan sekiranya lorong kecemasan digunakan oleh mana-mana kenderaan termasuklah motosikal dan boleh dikenakan tindakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram