Langgar lari hingga sebabkan kematian di Kluang, penunggang motosikal kini diburu


  • Tular
  • Jumaat, 26 Nov 2021

TANGKAP layar rakaman dashcam yang menunjukkan dua buah motosikal berlanggar di lampu isyarat kilometer 58 Jalan Batu Pahat - Mersing, Johor. — Facebook

SATU insiden kemalangan yang berlaku di Kluang, Johor yang melibatkan dua buah motosikal tular di media sosial sejak Khamis.

Kejadian itu berlaku di lampu isyarat kilometer 58 Jalan Batu Pahat - Mersing pada Selasa.

Menerusi rakaman dari kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta, pelanggaran itu berlaku akibat tindakan seorang penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar seorang lagi penunggang yang berada di jalan bertentangan.

Penunggang motosikal yang melanggar itu kemudian bangun dan melarikan diri dari kawasan kejadian.

Menurut maklumat orang awam, lelaki itu meninggal dunia akibat pelanggaran tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin dalam satu kenyataan di Facebook menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta supaya memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"Hari ini, Pegawai Khas Pejabat ADUN Mengkibol, Ms. Boo bersama Encik Lim, bekas Ketua Masyarakat Kg. Paya telah menziarahi ahli keluarga dan kakak mangsa kemalangan di majlis pengebumian penunggang motorsikal maut.

"Menurut kakak mendiang, mendiang merupakan seorang anak yang berbakti, tinggal bersama ibu bapa yang berusia lebih 80 tahun. Mendiang juga merupakan sumber pendapatan utama keluarga. Mereka kehilangan pendapat selepas kematian mendiang," katanya pada Khamis.

Pihaknya turut menyerahkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta berhubung dengan pihak Polis Daerah Kluang di talian 07-778 4222, atau 07-778 4256 (direct line), 07-776 6822 (hotline) dan 014-365 6822 (tablet DCC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram