Marsyal buat hal lagi di Port Dickson?


  • Tular
  • Isnin, 06 Dis 2021

TANGKAP layar dari video kamera papan pemuka menunjukkan beberapa individu berlagak seperti marsyal yang tular di laman sosial. — Facebook

VIDEO memaparkan aksi beberapa individu yang berlagak marsyal tular di media sosial Facebook apabila didakwa memberi arahan kepada seorang pemandu supaya memperlahankan kenderaan.

Dalam rakaman video kamera papan pemuka (dashcam), mereka dilihat memberi arahan kepada kenderaan awam itu untuk bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi untuk lalu jalan berkenaan.

Hantaran dari Mohd Fadzly Nordin itu menunjukkan terdapat lebih kurang 20 motosikal yang melalui laluan tersebut dan dipercayai konvoi berkenaan bergerak dari arah Kuala Sg Baru Alor Gajah Melaka melepasi kawasan Jalan Tg Agas Pasir Panjang, Port Dickson.

VIDEO dari Mohd Fadzly Nordin

Komen-komen dari warganet sememangnya marah dan mengecam dengan tindakan individu terbabit.

"Kau halau kenderaan awam tapi kenapa aku tidak halau ahli konvoi suruh cepat sikit. Guna bahasa isyarat tepuk kaki, suruh ahli konvoi rapat saf jangan nak lambat-lambat. Seminit lebih kau suruh kenderaan awam tenang, kau ingat kau bawa pak menteri ke? Oh lupa bawa ahli kayangan pergi konvoi. Ingat jangan nak senang tapi susahkan hidup orang," komen dari pengguna Facebook, Zairul Faisal.

"Jangan ingat kau bawak motor besar tu kau nak ambil semua jalan kat Malaysia ni. Nanti kerajaan larang berkonvoi baru padan dengan muka korang. Tahu pulak nak marah," kata Lan Lan.

"Tahniah pemandu. Arahan marsyal tu boleh kita ingkar. Dia bukan polis arah kita untuk ke tepi atau bagi laluan untuk geng bodo* dia tu. Kalau dia tak puas hati, ajak dia pergi balai. Tengok dia berani atau tidak berani," komen dari Kamirolhazwandie Bin Halus.

komennnnnnnn

TANGKAP layar komen-komen dari warganet di Facebook

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidil Sham Mohamed berkata, pihak polis mengesan individu terbabit dalam rakaman dan menyeru kepada mana-mana yang memiliki maklumat kejadian untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Menurutnya, seseorang marsyal tidak dibenarkan memberi apa jua arahan bagi tujuan menahan/ memberhentikan kenderaan/melencong kehadiran tanpa kehadiran mana-mana Pegawai Polis.

“Pihak Polis tidak berkompromi dengan mana-mana ahli kumpulan yang berlagak sebagai polis trafik dalam mengawal lalu lintas yang mana boleh mendatangkan bahaya dan menyekat hak-hak bergerak di jalan awam.

“Siasatan dijalankan bawah Sek.21 Akta Polis 1967, Sek.48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Halangan Lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59 (Kaedah 12(3)(A) – (Kesalahan di garisan berkembar),” katanya dalam kenyataan media.

Ini merupakan kejadian kedua beberapa individu dilaporkan bertindak seperti marsyal di Port Dickson.

Pada November, tiga lelaki yang bertindak sebagai pengiring atau marsyal dengan memberhentikan kenderaan awam untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di lampu isyarat Sua Betong di Port Dickson akhirnya ditahan pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Marshal, Polis, tular, Port Dickson, Facebook