PASARAN getah Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan hujan berterusan, yang menyebabkan ladang getah ditenggelami air.
Bekas Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata, aktiviti menoreh akan terjejas sekali gus menyebabkan kekurangan pengeluaran getah.
"Kami percaya dagangan akan menjadi lembap memandangkan kekurangan bekalan disebabkan musim monsun," katanya kepada pemberita.
Selain itu, Low berkata, minat terhadap komoditi tempatan mungkin terjejas oleh kemunculan varian Omicron yang turut memaksa banyak negara menutup pintu sempadan mereka.
Sementara itu, seorang peniaga lain berkata, pasaran akan terus memantau perkembangan sekitar varian Omicron serta melihat hasil mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu (OPEC+) pada 4 Januari 2022.
Pasaran getah mengakhiri tahun 2021 dengan kenaikan semula daripada minggu sebelumnya disokong oleh kenaikan harga penanda aras minyak mentah dan selepas menerima rangsangan daripada pengukuhan pasaran niaga hadapan getah serantau dalam persekitaran peningkatan varian Omicron.
Bagi asas mingguan, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 melonjak 22.5 sen kepada 726.5 sen sekilogram (kg), manakala susu getah pukal meningkat 6.5 sen kepada 519.0 sen sekilogram.
Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 720.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 516.5 sen sekilogram.
Pasaran getah Malaysia ditutup pada hari Jumaat sempena ambang Tahun Baharu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram