KERAJAAN disaran mempertimbang untuk menetapkan harga lantai getah sekerap pada paras RM3.50 sekilogram sebagai langkah jangka panjang meningkatkan pendapatan pekebun kecil sektor itu, kata Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Menurutnya, jika dilaksanakan, ia mampu meningkatkan purata pendapatan pekebun kecil getah kepada kira-kira RM2,625 sebulan berbanding kurang daripada RM1,500 sebulan ketika ini.
"Saya mencadangkan agar polisi stok penimbal digunapakai bagi menetapkan harga lantai komoditi tanpa memberi impak kewangan yang besar kepada negara.
"Cara ini telah dilaksanakan di China bagi mengawal pendapatan pesawah padi manakala di Australia untuk mengawal harga kapas," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Abdul Azeez berkata kenaikan harga lantai getah itu akan menyaksikan peruntukan tambahan insentif pengeluaran getah (IPG) berjumlah kira-kira RM120 juta setahun.
"Peruntukan ini sebaliknya boleh dijana melalui pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa ke atas syarikat gergasi yang terlibat secara langsung dengan industri getah.
"Kutipan cukai terbabit hendaklah dimasukkan dalam sebuah tabung khusus untuk pekebun kecil getah dan kerajaan perlu merangka akta khas berkaitannya supaya ia tidak digunakan bagi tujuan lain,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram