PASARAN getah Malaysia ditutup lebih tinggi pada Isnin seiring dengan pengukuhan pasaran hadapan getah serantau, selain didorong oleh kenaikan harga minyak mentah.
Seorang peniaga berkata, harga minyak meningkat pada Isnin selepas syarikat pengeluar milik kerajaan Arab Saudi Aramco, menaikkan harga jualan rasmi untuk minyak mentahnya, menandakan bahawa permintaan kekal kukuh dalam keadaan bekalan yang berkurangan.
Pada masa ini, penanda aras minyak mentah Brent melonjak 0.88 peratus kepada AS$83.53 setong.
Selain itu, sentimen positif turut dilonjakkan oleh berita-berita ekonomi dari China dan Amerika Syarikat (AS) yang menggalakkan.
“China mencatatkan lebihan dagangan sebanyak AS$84.54 bilion bulan lepas, tertinggi dalam rekod yang pernah dicatatkan,” katanya.
Di samping itu di AS, Kongres telah meluluskan rang undang-undang infrastruktur bernilai AS$1 trilion pada Sabtu yang membenarkan agenda ekonomi presiden Joe Biden.
“Dalam pada itu, data pekerjaan AS melonjak kepada 531,000 pada Oktober, tertinggi dalam tempoh tiga bulan, sekali gus menawarkan lebih banyak aktiviti ekonomi serta memperoleh semula momentum pada suku keempat,” tambahnya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 meningkat sebanyak 7.5 sen kepada 696.5 sen sekilogram (kg), manakala lateks getah pukal naik sebanyak 4.5 sen kepada 534 sen sekilogram.
Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 691.5 sen sekilogram manakala lateks getah pukal pada 537 sen sekilogram. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram