Satu lagi syarikat sarung tangan getah Malaysia disekat Amerika Syarikat


  • Primer
  • Jumaat, 05 Nov 2021

SMART Glove didakwa melanggar tujuh indikator ILO berhubung amalan buruh paksa. — Gambar hiasan

JABATAN Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan kemasukan ke atas sarung tangan getah keluaran Smart Glove Corp Sdn Bhd ke negara itu mulai 4 November atas dakwaan melibatkan amalan buruh paksa.

CBP mengeluarkan Perintah Tahan Pelepasan (WRO) terhadap sarung tangan pakai buang keluaran Smart Glove sekali gus menjadi syarikat tempatan terbaharu dikenakan tindakan tersebut atas alasan berdasarkan maklumat siasatan bahawa kemudahan pengeluaran syarikat itu menggunakan khidmat buruh paksa.

Malah, CBP mendakwa ia turut mengenalpasti tujuh indikator ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) membabitkan buruh paksa dalam siasatan tersebut.

Tindakan terbaharu ke atas syarikat berkenaan berlaku kira-kira dua minggu selepas CBP mengenakan larangan serta atas alasan sama terhadap Supermax Corp Bhd.

Menurut Pemangku Pesuruhjaya CBP, Troy Miller, pihaknya menetapkan standard antarabangsa sejak dua tahun lepas bagi memastikan produk yang dihasilkan oleh tenaga buruh paksa tidak memasuki ruang perdagangan AS.

"Pengeluar seperti Smart Glove yang gagal mematuhi undang-undang kita akan berdepan kesannya dalam usaha negara ini menghapuskan amalan buruh paksa itu daripada rantaian bekalan AS,” katanya dalam satu kenyataan.

Peraturan Persekutuan 19 USC 1307 AS melarang pengimportan barangan yang dihasilkan secara penuh atau sebahagiannya oleh buruh paksa dan/atau buruh kontrak termasuk buruh kanak-kanak secara kontrak atau paksa.

CBP akan bertindak menahan produk yang disyaki melanggar peraturan itu dan pengimport produk berkenaan mempunyai pilihan mengeksport produk terbabit atau menunjukkan bukti bahawa ia tidak dihasilkan oleh buruh paksa.

Pada tengah hari Jumaat, saham-saham Smart Glove susut satu sen kepada RM2.18 dengan sejumlah 6.02 juta saham saling berpindah tangan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Smart Glove, sarung tangan, getah, CBP, AS