'Boleh ke suka hati mohon lesen gondol hutan simpan?'


  • Massa
  • Ahad, 26 Dis 2021

PAPAN tanda Hutan Simpan Kekal di Lakum di Lanchang, Pahang, dipercayai sedang digondolkan. — Facebook

"ADAKAH sesiapa sahaja atau mana-mana syarikat persendirian boleh sesuka hati memohon lesen memajak dan menggondolkan Hutan Simpan Kekal di Pahang seperti contoh surat kelulusan itu atau hanya syarikat kroni sahaja yang dibolehkan?" soal Mohd Khaidir Ahmad.

Demikian respons bekas pengarang TV3 itu mengulas mengenai satu salinan surat kelulusan permohonan pajakan tanah seluas 202.35 hektar, bagi projek penubuhan ladang hutan dan mengeluarkan saki baki kayu balak dan kayu jaras di Hutan Simpan Kekal Lakum di Mukim Semantan, dekat Temerloh, Pahang.

Surat itu dipercayai dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada April lalu, selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang kepada sebuah syarikat persendirian di Kuantan.

269462365_10208606855286998_5301923422144132439_n

BUKTI surat kelulusan 'menggondol' Hutan Simpan Kekal di Pahang. — Facebook

Mohd Khaidir berkata, surat itu dihantar kepadanya selepas satu video yang diambil dari dron tular di media sosial memaparkan keadaan Hutan Simpan Kekal Lakum yang gondol, selain dipercayai antara punca banjir luar biasa yang merosakkan ribuan rumah rakyat di lembangan Sungan Semantan di hilir kawasan berkenaan khususnya Lanchang, Mentakab dan Temerloh beberapa hari lalu.

Terkejut dengan perkara itu, Mohd Khaidir mendakwa, kandungan surat itu bukan sahaja membenarkan syarikat terbabit mengeluarkan saki-baki kayu jaras - sebelum ini hanya tebangan terpilih pokok dewasa dibenarkan bagi pembalakan Hutan Simpan Kekal - tetapi juga 'menggondolkan' hutan berkenaan secara pajakan kononnnya bagi penubuhan ladang hutan.

"Persoalannya, dari mana kerajaan negeri Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mendapat ilmu atau kaedah perhutanan yang mengatakan Hutan Simpan Kekal perlu gondol atau dibotakkan bagi tujuan menanam semula anak benih pokok balak?

"Tidakkah secara azalinya spesis anak pokok balak seperti Merbau dan Meranti hanya boleh hidup dan membesar dalam persekitaran semulajadi yang teduh di celah-celah kanopi pokok hutan?" soalnya menerusi hantaran di laman Facebook.

Screenshot 2021-12-26 105423

VISUAL dron penggondolan Hutan Simpan Lakum di Pahang yang tular baru-baru ini. — Facebook

Beliau turut mempersoalkan sama ada semua Hutan Simpan Kekal yang sudah diluluskan, yang disifatkan mengikut dasar gondol dan pajak itu betul-betul akan ditanam dengan anak benih pokok hutan seperti Merbau dan Meranti, atau ia akan ditanam dengan pokok komersil seperti Musang King, kelapa sawit dan getah.

"Berapa ribu hektar lagi Hutan Simpan Kekal di Pahang yang sedang dan akan diluluskan menerusi dasar gondol dan pajak ini?

"Adakah kawasan yang sudah digondol dan dipajak ini masih lagi berstatus Hutan Simpan Kekal dalam statistik pengurusan hutan simpan mapan yang sering diwar-warkan oleh kerajaan negeri Pahang pimpinan Umno selama ini?" soalnya kesal.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan sama ada kelulusan surat itu akan memberi manfaat kepada rakyat Melayu dan pribumi tempatan di negara ini.

"Bangsa manakah yang mendapat manfaat utama dari dasar gondol dan pajak Hutan Simpan Kekal oleh kerajaan negeri Pahang yang dipercayai sudah membabitkan ratusan ribu hektar setakat ini termasuk di Hutan Simpan Lesong, Hutan Simpan Kemasul, Hutan Simpan Tembeling, Hutan Simpan Lepar dan Hutan Simpan Endau Rompin?" soalnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram