Pasaran getah dijangka lengang minggu depan


  • Bizz
  • Sabtu, 11 Dis 2021

PERMINTAAN dan harga getah akan kekal lemah terutama ketika dunia masih bergelut dengan serangan varian Omicron Covid-19 yang kini melanda seluruh negara. —The Star

PASARAN getah Malaysia menjangkakan dagangan yang lebih lengang minggu depan dengan aktiviti terikat pada jajaran yang ketat.

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low berkata, permintaan dan harga getah akan kekal lemah terutama ketika dunia masih bergelut dengan serangan varian Omicron Covid-19 yang kini melanda seluruh negara.

Dengan Eropah terpaksa berhadapan kes-kes besar Covid-19, tidak dapat dielakkan sentimen akan kekal lesu dan pembelian lebih kepada sebagai penambahan semata-mata.

"Pelan pemulihan ekonomi tidak seimbang buat masa ini dan tidak akan ada aktiviti perniagaan yang rancak buat sementara waktu," katanya kepada pemberita.

Low berkata, pemerhati pasaran berpendapat bahawa kenaikan harga dan permintaan menggalakkan sebelum bermulanya musim musim hujan mungkin sudah berlebihan dan kini telah mula stabil dengan sewajarnya memandangkan getah yang dihasilkan sudah sedia mencukupi.

“Tetapi pembeli diingatkan bahawa musim tengkujuh masih belum tiba di wilayah pengeluar getah dan kita mungkin akan melihat hujan lebat pada hari-hari mendatang. Mungkin akan terdapat beberapa aktiviti penambahan stok,” katanya.

Seorang peniaga lain berkata harga getah dijangka menjejaki prestasi ringgit, pasaran hadapan getah serantau dan penanda aras harga minyak mentah sementara pasaran pula terus memantau perkembangan berkisar varian Omicron dan inflasi.

"Peserta pasaran juga akan memantau rapat mesyuarat dasar utama Rizab Persekutuan AS pada 14 hingga 15 Disember minggu depan," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan merosot dalam tempoh kajian, mengambil petunjuk daripada prestasi pasaran hadapan getah serantau.

Berdasarkan perbandingan Khamis hingga Jumaat, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Malaysia Standard 20 (SMR 20) menyusut 9.0 sen kepada 711.0 sen sekilogram (kg) manakala lateks pukal turun 27 sen kepada 553.5 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang Jumaat, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 711.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 550.5 sen sekilogram. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram