Search pilih penyanyi viral Indonesia


  • Hiburan
  • Jumaat, 31 Dis 2021

Denden pernah bekerjasama dengan penyanyi popular Indonesia seperti Inka Christie dan Judika.
KUMPULAN rock legenda, Search memperkenalkan vokalis terbaharu, Denden Gonjales,38, yang juga merupakan seorang penyanyi kelahiran Indonesia.

Pemilihan Denden juga merupakan projek kolaborasi antara dua negara dalam langkah Search untuk mengembangkan lagi pengaruhnya di dalam dan luar negara.

Menurut pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib, Denden dipilih sebagai vokalis kumpulan Search kerana kemampuan penyanyi itu menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan genre muzik kumpulan itu.

“Search memilih dia kerana suaranya dan boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan Search.

“Dengan usia yang masih muda iaitu 38 tahun kami yakin dia boleh membawakan lagu-lagu search dengan baik. Usia yang cukup sesuai untuk kemuncak prestasi,” katanya pada Sidang Media Pengumuman Penyanyi Baharu Search dan Pembukaan Search Rock Station di Hotel The Royal Campbell, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambahnya lagi, dengan kehadiran Denden sebagai vokalis, Search kini dalam perancangan untuk lebih aktif pada tahun depan.

Katanya, untuk tahun 2022, Search dalam perancangan untuk merakamkan semula beberapa lagu lama dan mungkin tampil dengan single baharu.

“Kita sedang dalam perbincangan untuk memilih lagu-lagu lama yang akan dinyanyikan semula oleh Search dan Denden.

“Pada masa sama jika tiada halangan kita juga akan menjayakan konsert untuk mengubati rindu peminat Search,” ujarnya.

Denden merupakan penyanyi yang tidak asing lagi kerana beliau pernah bekerjasama dengan penyanyi popular Indonesia seperti Inka Christie dan Judika.

Malah, Denden juga mencuri tumpuan dunia berikutan aksinya di ‘blind audition’ program The Voice Bulgaria di mana dia membuat juri terpukau ketika menyanyikan lagu She’s Gone nyanyian asal Steelheart. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Search, Denden, vokalis, malaysia, indonesia