Mula modal RM50 saja, wanita Ipoh kini ada 5 kedai biskut di Lembah Klang


  • Bizz
  • Sabtu, 01 Jan 2022

NORLI Yusop (tengah) bersama produknya Yusa Food Sdn Bhd yang terdiri daripada biskut, keropok dan snek.

UNTUK bergelar usahawan berjaya, pasti tidak terlepas daripada cabaran untuk kekal relevan dan mereka perlu terus berusaha memperbaiki strategi bagi memajukan perniagaan masing-masing.

Usahawan berjaya terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) wajar dikongsikan sebagai inspirasi kepada orang ramai terutamanya bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia perniagaan.

Itu antara kisah yang sudi dikongsikan usahawan produk makanan dari syarikat Yusa Food Sdn Bhd menghasilkan biskut, keropok dan snek.

Pengarah Urusan Yusa Food Sdn Bhd, Norli Yusop berkata, minatnya dalam bidang perniagaan muncul setelah krisis ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997 di mana suaminya hilang segalanya dalam perniagaan dan pada waktu itu juga dia telah berhenti bekerja.

"Daripada desakan hidup untuk membantu keluarga jana pendapatan dan keluar daripada masalah kewangan, saya mencuba membuat biskut iaitu tart nanas yang mana merupakan produk pertama saya.

"Saya mula memberi sampel produk kepada kenalan dan juga bekas pelanggan. Untuk makluman, saya dahulu merupakan reseller (penjual semula) biskut yang diusahakan kakak. Dari sampel itulah, produk saya mendapat sambutan dan berjaya menawan hati pelanggan," katanya kepada Majoriti ketika ditemui baru-baru ini.

WhatsApp Image 2021-12-31 at 10.46.22

YUSA Food Sdn Bhd pernah memenangi Anugerah Usahawan Dinamik, Kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 yang dianjurkan oleh oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Ehwal Pengguna pada November lalu.

Cabaran

Wanita kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dengan hanya bermodalkan RM50 dan sebiji oven yang kecil diberikan oleh ibu mertuanya, ia tidak menjadi penghalang untuknya berniaga sehingga kini mempunyai lima kedai di SACC Mall Shah Alam, The Curve, Sunway Putra Mall, GE Mall Jalan Ampang dan Melawati Mall.

Namun perjalanan wanita berumur 52 tahun itu membina empayar perniagaan biskutnya tidak semudah disangka kerana perlu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk daripada pesaing serta memiliki pekerja yang terlatih.

"Ada pesaing yang suka mencuri idea dan ada juga yang bersaing daripada segi harga. Pesaing kami juga ada yang bukan dalam industri tetapi home bakers di mana kos mereka tak setinggi kos kami yang menyewa kilang dan kos-kos lain. Harga yang ditawarkan oleh home bakers lebih rendah berbanding kami yang beroperasi di premis.

"Satu lagi cabaran yang memenatkan adalah untuk mengekalkan pekerja. Sikap staf yang suka bertukar kerja membuatkan kami membuang masa untuk melatih pekerja baru.

"Kebanyakan pelajar jurusan kulinari tidak mahu masuk bekerja dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan memilih untuk bekerja di hotel atau kafe," kata usahawan wanita itu.

Malah, wanita itu juga diuji dengan cabaran yang lebih besar apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 yang mana kesemua kedainya tidak boleh beroperasi secara fizikal.

"PKP sangat memberi kesan kepada perniagaan kami kerana 70 peratus pendapatan kami adalah daripada kedai kami di pusat membeli-belah. Kesemua kedai kami tidak dapat beroperasi dan kami hilang punca kewangan," katanya.

Ubah strategi

WhatsApp Image 2021-12-31 at 14.19.13

NORLI semasa menyertai Tradex Exponanza of the World bersama Bahagian Pembangunan Usahawan MARA pada 17 hingga 22 Disember 2021

Untuk rekod, Norli sudah mengubah sebanyak tiga kali cara perniagaanya akibat penularan Covid-19 dan akhirnya syarikatnya beralih kepada pendigitalan dengan mempromosi produknya secara atas talian.

"Kebanyakan tumpuan kami adalah Lembah Klang di mana kami sendiri gunakan in house rider. Di waktu itu juga kami berjaya mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mengeskport," katanya.

Wanita yang sebelumnya bekerja sebagai eksekutif setiausaha di sebuah syarikat korporat itu bersyukur kerana pihak kerajaan banyak membantu syarikatnya untuk dapat sehingga kini.

"Premis yang kami gunakan adalah milik Majlis Amanah Rakyat (Mara). Apabila berlaku Covid-19 dan PKP berlaku pihak pengurusan Mara menawarkan diskaun bagi kadar bayaran sewa kilang kami.

"Pihak kami juga memanfaatkan tawaran moratorium untuk pinjaman bank kami. Melalui Penjana juga kami berjaya dapatkan pinjaman daripada bank bagi membantu memulihkan perniagaan kami," katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, pihak kerajaan negeri Selangor juga ada memberi bantuan pembangunan pembungkusan produknya dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menawarkan gerai untuk menjual produknyasecara percuma selama enam bulan di Alamanda Putrajaya.

"Pihak kerajaan amat membantu syarikat kami daripada segi incentive grant, promosi dalam dan luar negara yang mana kami telah menyertai semua expo, majlis yang diadakan di Malaysia.

"Malah pihak kerajaan juga menawarkan promosi di luar negara seperti China, Jepan, Mesir dan lain-lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram