Angkara hujan lebat, Empangan Kenyir dalam bahaya?


  • Primer
  • Jumaat, 31 Dis 2021

KEADAAN air Sungai Temelong dilaporkan telah kembali surut pada Khamis. — Facebook

BEBERAPA pengguna media sosial menggunakan sebuah video memaparkan keadaan sungai di sebuah kawasan perlindungan gajah berdekatan Empangan Kenyir di Terengganu sebagai bukti bahawa cuaca buruk baru-baru ini telah merosakkan empangan tersebut.

RAKAMAN video menunjukkan aliran deras air Sungai Temelong. — Facebook

Adakah dakwaan tersebut betul? Jawapannya adalah tidak benar.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, paras air di Empangan Kenyir yang juga dikenali sebagai Stesen Kuasa Sultan Mahmud itu masih terkawal dan berada di paras selamat.

TNB memaklumkan sungai di dalam video itu sebenarnya adalah Sungai Temelong, yang lokasinya terletak berhampiran Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir.

"Aliran air Sungai Telemong itu tidak memasuki Tasik Kenyir.

"Setakat ini, paras air di empangan Tasik Kenyir masih selamat dan terkawal," katanya.

TNB ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan video air deras yang berlaku itu.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi berita yang tidak sahih di media sosial," menurut kenyataan itu.

Pada Khamis, satu video dimuat naik di TikTok menunjukkan insiden aliran air deras didakwa berlaku di Tasik Kenyir.

Semakan mendapati, video asal dimuat naik di media sosial menunjukkan lokasi di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV).

Bagaimanapun perkongsian menerusi Facebook rasmi KECV memberitahu, keadaan air sungai kembali surut jam 12 tengah hari pada Khamis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram