Penduduk Kuala Krai berjaga malam waspada banjir


  • Massa
  • Jumaat, 31 Dis 2021

HUJAN berterusan melanda Kelantan dan dijangka akan berlaku banjir. — Bernama

SUSULAN pemakluman Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengenai kemungkinan banjir di Kelantan bermula pada Jumaat, kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Kelantan bersengkang mata memantau keadaan pada waktu malam kerana bimbang rumah mereka dilanda banjir.

Peniaga kedai runcit, Rosnah Mat Zin, 60, dari Kampung Tanjung Jalan Geale berkata, biasanya susulan hujan lebat yang berterusan, paras sungai Kelantan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya akan naik dengan cepat.

"Dalam kejadian banjir baru-baru ini, rumah saya dinaiki air hanya sedalam paras buku lali, tetapi saya masih tidak nyenyak tidur memikirkan bagaimana keadaan esok dan seterusnya, sekiranya hujan lebat berterusan.

"Saya sekeluarga terpaksa memantau keadaan sekeliling pada setiap masa sebab rumah ini berdekatan dengan sungai Kelantan yang bila-bila masa sahaja air boleh melimpah," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Krai, Kelantan pada Jumaat.

Rosnah berkata, tindakan pantas PRABN memaklumkan situasi mengenai banjir dan hujan dari semasa ke semasa amat membantu keluarganya dalam membuat persediaan awal seperti meletakkan barangan berharga pada tempat tinggi.

Nur Izzatul Balqis, 26, dari Kampung Batu Lada pula berkata, beliau tidak memandang ringan segala amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa meskipun rumahnya tidak pernah dilanda banjir.

Menurutnya, beliau tetap berwaspada terutama pada waktu malam kerana khuatir air sungai memasuki rumah tanpa disedari.

"Rumah saya ini terletak lebih tinggi daripada rumah penduduk yang lain, tetapi perasaan gusar, bimbang, khuatir semuanya ada sebab kita tidak boleh ramal keadaan cuaca ketika ini yang sekelip mata sahaja boleh menjadi lebih teruk.

"Oleh itu, saya tidak mahu ambil mudah dan cepat selesa walaupun pada tahun 2014 ketika banjir besar di Kelantan, rumah saya tidak dilanda banjir tetapi terkepung seperti berada di 'pulau', tidak boleh pergi ke mana-mana kerana semua rumah jiran dinaiki air," katanya.

Sementara itu, paras Sungai Kelantan di Kuala Krai setakat 10 pagi pada Jumaat merekodkan bacaan 24.84 meter melepasi paras amaran.

Pada Rabu, PRABN mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Disember, manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Januari. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kelantan, kuala krai, sungai kelantan, banjir