PIHAK berkuasa tidak boleh berputus asa dalam memastikan kesilapan yang dilakukan semasa banjir besar yang melanda di semenanjung tanah air baru-baru ini tidak berulang, kata Tan Sri Lee Lam Thye.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat itu berkata, usaha untuk tidak mengulangi kesilapan lalu adalah penting kerana besar kemungkinan gelombang kedua banjir bakal berlaku akibat cuaca buruk yang berterusan.
"Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan digerakkan sepenuhnya bagi menangani kemungkinan seperti itu.
"Ini adalah langkah betul memandangkan kesusahan yang dialami mereka yang terjejas semasa banjir baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Namun, katanya, perkara itu masih perlu dilihat sama ada pasukan petugas itu akan dapat memberi bantuan ketika diperlukan dalam tempoh sesingkat mungkin tanpa sebarang kerenah birokrasi.
"Segala bentuk permohonan bantuan mesti dipermudahkan dan diberi perhatian serius.
"Nyawa telah melayang manakala kerosakan besar berlaku ke atas harta benda, barangan rumah dan kawasan kejiranan. Malah, ia mengambil masa agak lama untuk rakyat pulih dari segi kembali bekerja di samping anak-anak kembali ke sekolah," katanya.
Mengulas mengenai langkah kerajaan yang mahu memberi bantuan sebanyak RM1,000 untuk individu terjejas akibat banjir, Lee berkata, sebarang birokrasi sepatutnya tidak wujud dalam pelaksanaan program itu, seperti yang dilihat dalam beberapa kes baru-baru ini.
"Adalah diakui bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) telah menyumbang kepada banjir di Taman Sri Nanding.
"Kami sebelum ini memberi amaran supaya berhati-hati untuk memastikan pembangunan seperti itu tidak akan mengakibatkan longkang tersumbat yang boleh menyebabkan air hujan melimpah ke Sungai Langat.
"Kami juga menekankan tentang keperluan untuk menjalankan penilaian kesan alam sekitar sebelum projek seperti itu diluluskan. Ini sangat penting," tambahnya.
Selain itu, beliau juga menggesa Jabatan Meteorologi supaya lebih proaktif.
"Walaupun ia melaksanakan tugasnya untuk meramal cuaca, jabatan itu juga perlu memastikan mesejnua sampai ke bumi.
"Oleh kerana corak cuaca tropika tidak banyak berubah berbanding dengan iklim sederhana, kebanyakan orang ramai tidak mendengar ramalan cuaca sebagai keutamaan.
"Justeru, mereka terlepas beberapa amaran penting. Oleh itu, jabatan itu bertanggungjawab untuk berfikir di luar kotak selain memastikan amaran cuaca sampai kepada masyarakat yang terdedah.
"Ini boleh dilakukan menerusi beberapa kaedah seperti siren, bunyi kuat atau dengan dron seperti yang dilakukan oleh pihak polis baru-baru ini untuk meminta orang ramai bersurai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram