Enam kampung di Dungun berdepan banjir gelombang ketiga bermula Khamis


  • 112
  • Isnin, 27 Dis 2021

ANGGOTA bomba memindahkan mangsa banjir ke kawasan lebih selamat berikutan hujan lebat di Kampung Shukor pada 18 Disember lepas. — Bernama

DIANGGARKAN lebih 1,000 penduduk membabitkan enam kampung di kawasan pedalaman Dungun berisiko dilanda banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku pada Khamis dan Jumaat ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, kesemua mereka sudah dinasihatkan supaya membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana berkenaan.

Beliau berkata, enam kampung tersebut ialah Kampung Pasir Raja, Kampung Syukur, Kampung Jongok Batu, Kampung Minda, Kampung Jerangau dan Kampung Kuala Jengai di kawasan hulu Dungun.

“Saya minta penduduk sekitar supaya berwaspada dan pastikan keselamatan harta benda serta anak masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka sekiranya banjir berlaku di sana bagi menempatkan semua penduduk terjejas nanti,” katanya pada Majlis Derma Darah di Raia Hotel & Convention Centre Terengganu pada Isnin.

Program anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Raia Hotel dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Seramai 100 anggota dan sukarelawan APM Terengganu terlibat dalam program tersebut dengan sasaran derma sebanyak 250 beg darah.

Sementara itu, Mohd Rosman berkata, seramai 252 pegawai dan 2,509 anggota daripada enam agensi berkaitan sudah bersedia menghadapi banjir gelombang ketiga di negeri ini.

Agensi tersebut ialah APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Beliau berkata, setakat ini aset di Terengganu adalah mencukupi melibatkan 120 kenderaan pacuan empat roda, selain lori (61), bas (tiga), van (49), ambulans (22), bot (156), enjit bot (166), jaket keselamatan (1,893), khemah (84) dan set generator (129).

“Untuk ramalan banjir gelombang ketiga, tumpuan diberikan untuk enam kampung di pedalaman Dungun itu,. Bagaimanapun, ada pasukan keselamatan yang bersiap siaga di tujuh daerah lain," jelas beliau.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) pada Sabtu mengeluarkan ramalan awal kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Terengganu pada Khamis dan Ahad ini susulan ramalan cuaca signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Aras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun dijangka melepasi paras bahaya pada tarikh tersebut yang menyebabkan kawasan rendah di situ berisiko dilanda banjir. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram