Kerajaan wajar pertimbang bantuan khas RM5,000 kepada mangsa banjir


  • Primer
  • Isnin, 27 Dis 2021

SEORANG penduduk, Nina Sarina Abdullah meletakkan kucing peliharaan di tempat lebih selamat setelah kediamannya di Taman Seri Damai Perdana, Kuantan, dinaiki air dalam kejadian pada 18 Disember lalu. — Gambar hiasan/ Bernama

KERAJAAN sewajarnya mempertimbangkan pemberian bantuan khas RM5,000 kepada setiap keluarga yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda negara kali ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ini berikutan ramai mangsa terutama penduduk yang tinggal berhampiran sungai termasuk di Temerloh mengalami kerosakan harta benda sepenuhnya akibat bencana itu.

Beliau berkata, ramai mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda ekoran air banjir yang naik berlaku begitu cepat dan berarus deras.

"Dalam keadaan itu, sudah tentu menyukarkan mereka untuk bangkit semula kerana belum berakhir kemelut ekonomi kesan penularan Covid-19, kini mereka diuji pula dengan banjir.

"Justeru Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mempertimbangkan bantuan khas RM5,000 buat setiap keluarga yang terjejas teruk ekoran banjir kali ini," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang berkata, rata-rata mangsa merupakan golongan berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan kerajaan bagi memulihkan kembali kehidupan mereka.

"Bantuan RM5,000 itu membolehkan mereka membeli dan mengganti peralatan rumah dan perkakasan elektrik yang rosak. Saya percaya, mangsa terlibat akan berhemah dalam perbelanjaan wang itu demi memulihkan kehidupan mereka.

"Apa yang penting kerajaan perlu segera membantu rakyat untuk bangkit semula," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan kerajaan agar menangguhkan sementara projek-projek mega yang ingin dilaksanakan seperti projek 5G dengan memberikan tumpuan penuh kepada usaha membantu rakyat yang terjejas teruk ekoran musibah banjir kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram