Trak UN tidak terbabit misi bantuan banjir di Malaysia — ATM


  • 112
  • Isnin, 27 Dis 2021

KENDERAAN tersebut sebaliknya diatur gerak ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah UNIFIL. — Facebook

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan penglibatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dalam misi bantuan banjir di negara ini susulan sebuah video yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, video berdurasi satu minit yang dikongsikan dua individu pada 24 dan 7 Disember lepas di laman sosial itu memaparkan pergerakan beberapa trak tiga tan berlogokan United Nations (UN) berwarna putih.

Menurut beliau, dua individu berkenaan turut berkongsi teks dengan mempersoalkan kemunculan trak UN di negara ini dan mendakwa pertubuhan antarabangsa itu membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia.

"Paparan video tersebut adalah proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan ATM sebelum kenderaan tersebut diatur gerak ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).

"Kita menafikan video berdurasi satu minit yang tular di media sosial itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Affendi turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu didapati menyebarkan berita palsu dan boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram