'Harith Iskander... kau minta kenderaan amfibia, tapi tunjuk gambar Radpanzer Condor'


RADPANZER Condor atau kenderaan pengangkut anggota berperisai ini memiliki berat 12,000 kg, menjadikannya kurang sesuai untuk misi menyelamat mangsa banjir. — Facebook

BARU-BARU ini, pelawak Harith Iskander teruk dikecam gara-gara tuduhannya mengatakan dia tidak melihat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di kawasan terjejas banjir seperti di Shah Alam, Banting dan Hulu Langat, Selangor.

Menerusi ciapan tular itu, dia turut mendakwa kenderaan amfibia salah satu aset milik tentera amat berguna untuk menyelamatkan nyawa di Taman Sri Muda.

Selepas teruk dikritik, dia tampil memohon maaf dan memberi penjelasan mengapa dia bertanya tentang keberadaan ATM ketika menjalankan kerja-kerja menyelamat di beberapa kawasan.

Dia turut menjelaskan mengapa isu tersebut timbul rentetan daripada kesukaran pihaknya yang menggunakan bot bermotor untuk misi menyelamatkan mangsa banjir.

"Pergerakan dalam air agak susah dan kipas boat asyik tersangkut dengan sampah terapung dan juga kereta serta motosikal yang berada di bawah paras air.

"Untuk bergerak 1 kilometer (km) pun mengambil masa satu jam... waktu itulah saya terfikir kenderaan amfibia milik ATM.

"Saya tak sekali pun tanya kenapa ATM tak terlibat langsung ataupun kata yang ATM tak bertugas langsung," jelas Harith dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Menjawab persoalan yang ditimbulkan Harith, laman Facebook Malaysia Military Power (MMP) tampil menjelaskan bahawa kenderaan amfibia seperti gambar yang dirujuk Harith sebenarnya adalah Radpanzer Condor atau kenderaan pengangkut anggota (KPA) berperisai.

"Kau (Harith) minta kenderaan amfibia tapi kau rujuk dengan gambar Radpanzer Condor ni. Minta maaf cakap, betul ia amfibia akan tetapi kau tahu tak apa fungsi dia ni? Ini ialah KPA atau Armoured Personal Carrier," katanya.

Mengulas lanjut, MMP memaklumkan bahawa kenderaan itu menggunakan enjin Mercedes Benz OM352A dengan enam silinder enjin diesel dengan kekuatan 168 hp (125 kW).

Katanya, selain itu, ia mampu pergi sejauh kira-kira 900km dengan kelajuan 95km/j dan beratnya lebih kurang 12,000 kilogram (kg).

"Jadi, dalam hantaran terbaharu, Harith merujuk Radpanzer Condor ini sebagai kenderaan yang paling sesuai untuk misi menyelamat semasa banjir.

"Ada tak kau terpikir dengan berat 12,000 kg tu sesuai tak kenderaan ni nak mengharungi lorong-lorong taman atau penempatan yang ditenggelami air hingga paras dada itik dan dipenuhi dengan kereta serta motosikal yang tenggelam dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar?

"Adakah Condor ni akan menjadi kenderaan penyelamat atau penjahanam? Kau sendiri tulis, kipas bot kau tersangkut sampah yang penuh dalam air. Agak-agak kipas Condor ni boleh buang sendiri sampah yang melekat?," persoalnya.

Dengan penjelasan itu, MMP meminta Harith agar terlebih dahulu membuat semakan berhubung nama dan fungsi kenderaan amfibia milik ATM sebelum memuat naik apa-apa status di luar bidang tugasnya.

Status MMP turut dikongsi laman Facebook Geng Keselamatan Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram