Banjir: Putera Raja Arab Saudi zahir hasrat bantu Malaysia


  • Primer
  • Ahad, 26 Dis 2021

KEADAAN banjir yang mengakibatkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.

MENTERI Kabinet Arab Saudi, Putera Turki Mohammad Fahd Abdulaziz menzahirkan hasrat membantu Malaysia dengan menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dia telah dihubungi oleh Putera Raja Arab Saudi pada pagi Ahad berkenaan hasrat itu.

"Putera Turki menyatakan hasrat untuk membantu usaha kami bagi menyediakan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Hishamuddin, kementeriannya melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini memberi tumpuan kepada usaha bantuan pasca banjir dan persediaan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana itu.

Jelasnya, setakat pada Sabtu, seramai 998 anggota dan pegawai ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Diraja Malaysia diatur gerak bersama dengan 96 aset pelbagai jenis termasuk trak, bot tempur, enjin sangkut (OBM) serta helikopter EC725 ke negeri yang terjejas seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka.

"ATM berjaya memindahkan sejumlah 32,661 mangsa ke pusat pemindahan sementara setakat Sabtu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan serta semua agensi berkaitan menerusi Ops Murni.

"Perancangan ATM yang seterusnya di kawasan berkenaan ialah meningkatkan lagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk pencegahan penularan wabak Covid-19.

"Ini selari dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Affendi Buang pada Sabtu bahawa ATM akan menambah jumlah anggota sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 500 orang khusus untuk membantu kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Ujarnya, satu batalion ATM diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas apabila terdapat keperluan menghadapi banjir gelombang kedua.

Katanya, ini termasuk pembelian kecemasan 55 unit OBM yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan susulan laporan berhubung situasi bot ATM yang terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan terjejas.

Mengulas penubuhan pasukan petugas khas pasca banjir, Hishammuddin berkata, kementeriannya dan ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram