Tak cukup tangguh seminggu sesi sekolah — PIBGN


  • Massa
  • Sabtu, 25 Dis 2021

KPM pada Jumaat mengumumkan sesi persekolahan bagi penggal tiga 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu. — Yap Chee Hong/The Star

PENANGGUHAN sesi persekolahan selama seminggu akibat bencana banjir dikhuatiri tidak mencukupi buat pelajar, ibu bapa dan guru-guru yang terjejas untuk membuat persiapan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya bersetuju dengan penangguhan yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) namun berharap perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

"Buat masa ini kami harap KPM akan meneliti terlebih dahulu keadaan semasa dan jika perlu, tangguhkan lagi tempoh masa selepas seminggu yang diumumkan itu.

"Mengikut ramalan, cuaca hujan mungkin akan berlarutan jadi saya bimbang jika kejadian tidak diingini akan berlaku lagi," katanya kepada Majoriti.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin pada Jumaat mengumumkan, sesi persekolahan bagi penggal tiga 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu.

Ini bermakna, sesi persekolahan bagi Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari manakala bagi Kumpulan B bermula 10 Januari.

Penggal ketiga 2021/2022 pada awalnya dijadualkan bermula pada 2 Januari.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, mereka yang terjejas mungkin memerlukan lebih daripada seminggu untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan membuat persediaan untuk kembali selepas barang-barang persekolahan rosak akibat banjir.

Tambah beliau, sekolah-sekolah yang dijadikan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir juga harus membuat persiapan rapi terlebih dahulu sebelum boleh dibuka kepada pelajar.

Selain itu, Mohamad Ali turut mencadangkan kepada KPM supaya memberi pengangguhan yuran berkaitan, seperti sumbangan PIBG, selama enam bulan bagi memberi kelegaan kepada ibu bapa yang terjejas.

"Terutamanya bagi pelajar-pelajar dari keluarga B40, saya harap KPM dapat pertimbangkan penangguhan yuran buat mereka supaya dapat mengurangkan beban yang dihadapi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram