BANJIR di Selangor kian reda, namun kehilangan insan tersayang dan harta benda membuatkan kesedihan mangsa banjir masih belum surut dek kerana teringat-ingat harta yang dikumpul menggunakan hasil titik peluh hilang dalam sekelip mata.
Sehubungan itu, Umadevi Nadarajah, 48, seorang daripada mangsa banjir di Taman Sri Muda memohon agar kerajaan memberi bantuan yang berbentuk barangan kepada mangsa banjir memandangkan ramai mangsa yang mengalami kerosakan barangan rumah.
"Kami tak perlukan bantuan kewangan, tapi kami perlukan bantuan dari segi barangan seperti perabot baharu dan barangan elektrik.
"Sofa, peti ais, televisyen, almari dan tilam antara barangan yang rosak, kami terpaksa buang dengan hati yang berat," jelas guru itu.
Menurutnya, tiga buah kereta milik keluarganya turut tenggelam walau telah dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi.
Semasa tinjauan Majoriti, ibu kepada dua orang anak itu kelihatan sangat sebak apabila melihat keadaan rumahnya kerana ini kali pertama kawasan itu dilanda banjir besar pada Sabtu lalu.
"Saya tinggal selama 23 tahun di Taman Sri Muda, tapi ini kali pertama banjir yang sangat teruk berlaku, air naik dengan cepat.
"Saya sangka air akan naik sehingga paras pinggang sahaja, rupa-rupanya air naik mencecah sehingga paras 1 meter," tambahnya.
Pada hari kejadian, Umadevi dan ahli keluarga sempat meninggalkan rumah sekitar jam 5 petang dalam keadaan sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri dan sepanjang musibah itu mereka terpaksa berlindung di pejabat suaminya.
"Kami hanya fikir nyawa kami saja ketika itu, semua harta tidak sempat diselamatkan tapi syukur kami berjaya selamatkan dokumen-dokumen penting," katanya.
Tinjauan Majoriti di kawasan sekitar Taman Sri Muda mendapati rata-rata penduduk sibuk mengambil peluang untuk mencuci rumah masing-masing selepas paras air banjir mulai surut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram