
JABATAN Meteorologi sudah mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan hujan berterusan, beberapa hari sebelum banjir besar melanda beberapa kawasan di semenanjung tanah air termasuk Lembah Klang.
Namun, pihaknya hanya mengeluarkan amaran peringkat merah pada Sabtu, beberapa jam selepas banyak kawasan di Lembah Klang sudah dinaiki air.
Malah, amaran peringkat merah sepatutnya dimaklumkan secepat mungkin sebaik saja Taufan Super Rai melanda Filipina beberapa jam sebelum itu.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa amaran hujan lebat sudah dikeluarkan melalui saluran berita televisyen, tetapi berapa ramai, terutamanya dalam kumpulan yang terdedah, yang dapat menonton berita dengan kerap?
Rakyat yang terdedah biasanya mereka yang berada dalam kumpulan B40, yang keutamaan mereka setiap hari bukanlah untuk menonton berita, tetapi menghabiskan masa untuk mencari rezeki buat keluarga mereka.
Disebabkan itulah kami menyeru agar sistem amaran awal yang proaktif dan boleh dipercayai dipasang.
Sebilangan mangsa banjir berkata, mereka tidak dapat berhubung dengan pihak berkuasa apabila membuat panggilan ke talian 999. Mungkin anggota penyelamat dibanjiri oleh panggilan yang banyak ketika itu.
Walau apa pun keadaannya, sungguh menyayat hati melihat begitu ramai individu, NGO dan pertubuhan agama segera tampil menawarkan makanan dan bantuan lain kepada mereka yang terjejas akibat banjir, yang sebahagiannya menghabiskan masa sehingga 12 jam menunggu di atas bumbung untuk diselamatkan.
Sultan Selangor menggesa satu "pelan tindakan yang lebih komprehensif" terutama apabila berdepan dengan cuaca yang tidak dijangka. Ini merupakan rayuan kemanusiaan yang menunjukkan hakikat bahawa sehingga kini, pelan itu masih belum menyeluruh.
Kerajaan Persekutuan segera mewujudkan langkah bantuan, termasuk bantuan tunai RM1,000 untuk setiap isi rumah yang terlibat. Tetapi nampaknya, terdapat kekeliruan tentang cara mendapatkan wang itu.
Pada pagi Isnin, beberapa mangsa banjir pergi ke Pejabat Daerah di Petaling Jaya untuk memohon bantuan berkenaan, namun kakitangan di situ menjelaskan bahawa mereka tidak mengetahui mengenai perkara itu. Mangsa kemudian dinasihatkan untuk membuat laporan polis, tetapi apabila mereka sampai di balai polis, terdapat ramai orang di sana.
Adakah ini kes tangan kiri yang tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanan?
Kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta untuk membantu membaiki rumah yang rosak atau musnah akibat banjir. Tetapi ini dilihat tidak mencukupi. Kerajaan harus menjalankan kajian terperinci mengenai kerosakan akibat banjir yang dialami mangsa, seterusnya memberikan bantuan kewangan yang mencukupi kepada mereka.
Pihak berkuasa juga harus melihat kepada penambahbaikan sistem perparitan, yang dibina pada tahun 1940-an dan kini tidak dapat menampung keperluan penduduk negara.
Kita juga tidak boleh membenarkan pemaju yang tidak bertanggungjawab menceroboh tempat yang sensitif terhadap alam sekitar seperti hutan dan kawasan berbukit serta tanah gambut. Kita harus memastikan supaya tiada lagi pembersihan tanah secara besar-besaran dilakukan. Ini melibatkan pembangunan fizikal serta penebangan kawasan hutan untuk projek pembalakan dan pertanian mega.
Aliran air di permukaan akibat daripada penebangan tumbuh-tumbuhan dan pokok akan menyebabkan atau memburukkan lagi banjir semasa hujan lebat.
Kita harus berhenti menyalahkan cuaca sebagai punca banjir dan bencana alam lain. Undang-undang alam menetapkan bahawa jika kita menjaga alam sekitar, ia akan menjaga kita. — The Star
TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi,
Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram