50 penternak ikan di Jelebu alami kerugian RM12 juta


  • Primer
  • Rabu, 22 Dis 2021

KEADAAN ikan yang mati akibat banjir hingga mengakibatkan kerugian RM12 juta. — Sinar Harian

SEBANYAK 50 penternak ikan air tawar di daerah ini mengalami kerugian RM12 juta susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lepas di Jelebu, Negeri Sembilan.

Ketua Perikanan Daerah Jelebu Mohd Azhar Jusoh berkata, banjir yang membawa lumpur itu memusnahkan kolam ikan dan menyebabkan ratusan pelbagai jenis ikan air tawar termasuk ikan tilapia merah, baung dan udang galah mati serta dihanyutkan arus banjir.

"Selain kolam dilimpahi air berlumpur, ada juga yang pecah menyebabkan ikan terlepas keluar.

Bekalan oksigen ke kolam turut terputus selepas kawasan berkenaan mengalami gangguan bekalan elektrik dan ikan hanya mampu bertahan selama empat jam sebelum mati," katanya.

Jelasnya, kerugian tersebut melibatkan kerosakan kolam, peralatan dan makanan ikan yang turut musnah.

Mohd Azhar berkata, kerugian akibat banjir yang melanda daerah itu disifatkan penternak sebagai paling besar dialami mereka setakat ini.

Jelasnya, Pejabat Perikanan Daerah (PPD) Jelebu akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi membantu pengusaha membaik pulih kolam ternakan.

Menurutnya data berkenaan kemusnahan kolam akan dikumpul untuk dihantar ke Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi tindakan selanjutnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Penternak, Ikan, Kolam, Musnah, Banjir, Jelebu, Perikanan