Tragedi chalet Bentong, bomba dedah lokasi mayat budak 6 tahun dijumpai


  • 112
  • Rabu, 22 Dis 2021

MAYAT mangsa kanak-kanak lelaki yang dijumpai kira-kira 10.30 pagi Rabu dibawa keluar oleh pasukan penyelamat. — Bernama

MAYAT kanak-kanak lelaki dipercayai antara tiga individu dikhuatiri hilang dibawa arus sungai di kawasan chalet pusat peranginan di Bentong, Pahang, pada Sabtu lepas, ditemui tersangkut dalam longgokan kayu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, mayat itu ditemui pada kira-kira 10.30 pagi Rabu dalam keadaan terapung dan tersangkut dalam longgokan kayu di tepi kawasan hutan berhampiran Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, lokasi mayat budak enam tahun itu ditemui terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Kami telah menemui mayat berkenaan di Kilometer 66.2,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian pada Rabu.

Mohd Zamri berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti, namun bomba percaya ia adalah kanak-kanak yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu.

"Setakat ini, kami akan memanggil ibu bapanya untuk proses pengecaman dan bomba akan meneruskan operasi bagi mencari pemilik chalet berkenaan yang dilaporkan hilang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan K-9 untuk mengesan mangsa terakhir iaitu Bobby Lim Yoke Hoong.

Pada Selasa, satu mayat wanita ditemui pada 10.15 pagi dikenal pasti sebagai Yap Koon Lau.

Dalam kejadian pada Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang.

Kanak-kanak dikenali sebagai Emamnuel Chang serta pasangan suami isteri Bobby Lim Yoke Hoong dan Yap Koon Lau dilapor hilang dalam tragedi itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

chalet, bomba, kepala air, tragedi, mayat