TINDAKAN 'gila' seorang bapa menembak anak perempuan dan menantunya di kepala mengundang padah apabila dia berdepan hukuman penjara seumur hidup di Melbourne, Australia.
Mangsa, Lindita yang baru pulang berbulan madu maut di tempat kejadian (Salisbury Street, Melbourne) manakala suaminya Veton Musai meninggal dunia keesokan harinya ketika mendapat rawatan di Hospital Alfred, Melbourne.
Tertuduh, Osman Shaptafaj, 56, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di Mahkamah Agung Victoria atas tuduhan membunuh kedua-dua mangsa.
Berdasarkan fakta kes, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi pada 31 Disember 2019.
Tertuduh pada awalnya dikatakan mengelilingi rumah Salisbury Street dengan keretanya beberapa kali kira-kira pukul 8.30 pagi hari kejadian.
Melihat kedua-dua mangsa yang pulang berbulan madu sempena ulang tahun perkahwinan yang pertama, tertuduh kemudian secara senyap mengekori mereka di hadapan rumah dan menembak mereka di kepala.
Mendengar bunyi tembakan itu, ahli keluarga yang ada di rumah ketika membuka pintu depan dan melihat tertuduh sedang mengacukan pistol di kepalanya sendiri.
Tersedar perbuatannya dilihat orang, tertuduh kemudian melarikan diri dari tempat kejadian ke padang golf berhampiran di mana dia kemudian menembak dirinya sendiri sebanyak dua kali di kepala.
Dia bagaimanapun sempat dikejarkan ke hospital dan berjaya diselamatkan.
Saksi kejadian yang juga abang kepada mangsa (suami), Drilon, 31, memberitahu dia terkejut melihat adik dan isterinya berlumuran darah di hadapan rumah.
"Semua ahli keluarga termasuk ibu dan bapa saya ada di lokasi kejadian dan mereka sangat terkejut dan sedih melihat keadaan mereka (mangsa).
"Saya tidak menyangka hal seumpama ini akan berlaku dan meihat adik saya dalam keadaan nazak bergantung pada mesin hayat sehingga ke akhir nafasnya," katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, Tanya Skortsova menyatakan pembelaan bahawa Shaptafaj berbuat demikian kerana dia mengalami gangguan kemurungan kronik.
Katanya, dia mengalami masalah itu kerana tinggal bersendirian selepas kematian isteri dan kedua anaknya yang keluar dari rumah selepas berkahwin.
Dia yang diberhentikan kerja, hidup menyendiri dan memutuskan hubungan dengan lingkungan sosial.
Hakim Andrew Tinney bagaimanapun tidak dapat menerima alasan itu dan mengatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh tertuduh tiada kaitan dengan tindakannya menembak kedua-dua mangsa.
Katanya lagi, perbuatan itu disifatkan seperti dirancang dan tertuduh sudah berniat untuk melakukannya.
Tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan membunuh dan penghakiman akan ditangguhkan pada Februari 2022.
Hukuman maksimum bagi jenayah tersebut ialah penjara seumur hidup. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram