Bunyi siren di Kuala Kangsar bukan sebab paras air Sungai Perak — Polis


  • 112
  • Rabu, 22 Dis 2021

ANTARA mesej yang tular di media sosial berhubungi bunyi siren di Kampung Talang. — Facebook

BUNYI siren di Kampung Talang, Kuala Kangsar malam tadi yang tular di media sosial, bukan disebabkan kenaikan air di Sungai Perak sebaliknya dibunyikan oleh pihak bomba sebagai peringatan kepada penduduk berikutan kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata pemeriksaan mendapati siren itu dibunyikan pihak bomba dan bukannya siren sistem penggera banjir kerana hanya sungai di Kati yang terletak jauh dari kampung itu yang mempunyai sistem siren berkenaan.

"Kampung tersebut dinaiki air malam tadi namun dilaporkan telah surut. Memang ada sungai di situ tetapi bukan Sungai Perak. Setakat ini tiada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan pemantauan pihak berkuasa mendapati keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata banjir turut dilaporkan di beberapa kawasan daerah itu termasuk Kampung Banjir dan Padang Rengas yang juga telah surut serta tiada perpindahan mangsa.

Sejak malam tadi, tular rakaman video bunyi siren di Kampung Talang yang dinaiki air banjir dan rata-rata pengguna media sosial menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata paras air di empangan utama Sungai Perak adalah terkawal dan di bawah paras amaran setakat ini.

"Sungai Perak tidak melimpah tetapi kebanyakan anak-anak sungainya melimpah khususnya di Kampung Talang," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram