Produk kosmetik daun semambu dari Chukai diiktiraf antarabangsa


  • Bizz
  • Jumaat, 17 Dis 2021

PRODUK losen pelembab yang diperbuat dari daun semambu. Kolej Universiti TATI (TatiUC) memenangi Anugerah Emas Inovasi dan Anugerah Khas Inovasi Terbaik dalam Teknologi Hijau dari Japan Intellectual Property Association (JIPA) dalam pertandingan yang berlangsung pada 14 Disember lepas. — Bernama

SEKUMPULAN tujuh penyelidik Kolej Universiti TATI (TatiUC) di Chukai, Terengganu melakar sejarah apabila inovasi daun semambu yang dijadikan kosmetik berjaya memenangi dua anugerah antarabangsa pada Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2021.

Ketua penyelidik, Dr Norazlina Hashim berkata, TatiUC memenangi Anugerah Emas Inovasi dan Anugerah Khas Inovasi Terbaik dalam Teknologi Hijau dari Japan Intellectual Property Association (JIPA) dalam pertandingan yang berlangsung pada 14 Disember lepas.

Beliau berkata, idea mencipta losen pelembab untuk merawat kulit yang gatal dan kekeringan tercetus apabila melihat terlalu banyak daun semambu yang terdapat di sekitar kampus universiti itu.

"Kami memulakan penyelidikan sejak Mac tahun lepas dan berjaya mengekstrak pati minyak daun semambu melalui kaedah mudah dengan kos yang rendah.

"Meskipun berdepan pelbagai kegagalan pada awalnya, kami sentiasa menambah baik bahan dan teknik yang digunakan agar losen itu berkesan dalam merawat kulit yang gatal dan kering menggunakan formulasi baharu yang berasaskan bahan semula jadi," katanya ketika ditemui pemberita.

Daun semambu yang digunakan secara tradisional oleh generasi terdahulu mempunyai ciri dan sifat anti-mikrobial yang sangat berkesan dalam merawat kulit.

Kejayaan TatiUC itu berjaya mengalahkan lebih 300 penyertaan inovasi dan ciptaan lain dari pelbagai institusi di 10 negara Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan penyelidik turut menggunakan bahan semula jadi yang lain seperti minyak kelapa dara dan aloe vera dalam formulasi losen daun semambu itu untuk menghasilkan produk kosmetik yang lebih selamat dan memberi kepuasan kepada pemakai.

"Kos penyelidikan ini menggunakan geran yang diperoleh daripada TatiUC sebanyak RM14,900 dan kami berhasrat untuk mengkomersialkan losen ini di bawah jenama 'About Skin' yang telah mempunyai rangkaian pencuci tangan pembasmi kuman sebelum ini.

"Formulasi losen daun semambu ini diharap dapat membantu usahawan tempatan untuk penghasilan produk seperti produk kecantikan, kebersihan dan kesihatan dari bahan-bahan semula jadi tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk luar," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

daun semambu, TatiUC, losen, kosmetik, Terengganu