Ejen Ali The Movie gondol Anugerah Khas: Box Office FFM-31


  • Hiburan
  • Jumaat, 10 Dis 2021

EJEN Ali The Movie raih kutipan sebanyak RM32.5 juta.

FILEM Animasi, Ejen Ali The Movie menggondol Anugerah Khas: Box Office di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation and Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin berkata, kemenangan itu adalah hasil kerja keras mereka berpasukan.

“Ini adalah kemenangan pertama kami di FFM31. Kemenangan kami menerusi kategori ini adalah berikutan kutipan tertinggi yang kami capai pada 2019.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang pergi menonton. Saya dapat tahu ada yang sampai lima hingga enam kali pergi menonton sekali gus menjadikan kutipan filem kami tertinggi pada 2019.

“Terima kasih kepada Primeworks Studios kerana memberikan kepercayaan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang memberikan sokongan dan sudah tentu pasukan yang bekerja keras. Tahniah, ini kemenangan kita bersama,” katanya.

Untuk rekod, Filem Ejen Ali The Movie meraih kutipan sebanyak RM32.5 juta di empat buah negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Selain itu, Ejen Ali The Movie turut membawa pulang trofi Penataan Bunyi Terbaik.

Sementara itu, filem Sangkar pula dinobatkan sebagai Penata Seni Terbaik dan Tatarias Terbaik, kemudian Anugerah Khas Juri dimenangi oleh filem Suatu Ketika, Geran dan Headhunter.

Filem Roh pula berjaya memenangi trofi Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Filem The Garden Of Evening Mists dinobatkan sebagai pemenang kategori Kesan Khas Visual Terbaik dan filem Walk With Me sebagai Poster Terbaik.

17 kategori utama akan diumumkan pada acara utama yang disiarkan secara langsung di TV2 mulai jam 9 malam ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ejen Ali, FFM 31, box office, klcc