The Star menang Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail


  • Primer
  • Selasa, 30 Nov 2021

ROYCE turut merangkul hadiah pemenang gangsa menerusi kategori Penulisan Rencana Cemerlang. — The Star

WARTAWAN The Star, Royce Tan Seng Hooi mencipta sejarah tersendiri selepas menjadi pemenang emas kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail (media cetak) pada Malam Wartawan Malaysia 2021 yang berlangsung di Hotel Majestic pada malam Selasa.

Royce yang membawa pulang hadiah RM5,000 beserta sijil dan trofi memenangi kategori itu menerusi tiga laporan berita berbeza bertajuk 'The foreign labor conundrum', 'How the tech supply chain is reshaping' dan 'Yearning for the skies'.

Selain kategori itu, Royce turut merangkul hadiah pemenang gangsa menerusi kategori Penulisan Rencana Cemerlang yang membolehkannya membawa pulang hadiah RM1,000 dan sijil.

Bagi kategori sama, seorang lagi wartawan The Star, Sheila Sri Priya a/p Raman Chetty menjadi pemenang perak yang membolehkannya membawa pulang hadiah RM1,500 dan sijil.

Sementara itu, bagi kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang - Petronas, wartawan The Star, Muhammad Farid Abdul Wahab dan Sheila Sri Priya a/p Raman Chetty memenangi tempat kedua dan ketiga.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah RM1,500, RM1,000 dan sijil penyertaan.

Bagi kategori Infografik Terbaik pula, The Star melalui Muhammad Hafeez Aminuddin menjadi pemenang perak dan berjaya memenangi hadiah RM1,500 dan sijil penyertaan.

The Star juga memenangi hadiah pemenang perak bagi kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang.

Dalam pada itu, hadiah utama iaitu hadiah Kajai pula dimenangi wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli menerusi laporan mengenai kartel daging haram.

Malam Wartawan Malaysia 2021 dianjurkan oleh Malaysia Press Institute (MPI) dan menerima 228 penyertaan bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI - Petronas 2020.

Anugerah Hadiah Kajai disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata, penyertaan tahun ini menyaksikan pertambahan daripada portal berita yang sekali gus memberi gambaran bahawa media tradisional akan berhadapan saringan sengit daripada organisasi alam maya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram