Lelaki ditahan lakukan amang seksual, samun OKU di Johor Bahru


  • 112
  • Khamis, 16 Dis 2021

SUSPEK kini ditahan reman dari 16 hingga 20 Disember. — Gambar ihsan Polis Johor

POLIS menahan seorang lelaki berusia 36 tahun kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan menyamun seorang lelaki kurang upaya berusia 20 tahun di Kangkar Pulai, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian berlaku pada Selasa, selepas suspek menculik kanak-kanak itu di hadapan rumahnya di Taman Teratai, Kangkar Pulai kira-kira jam 5 petang.

Suspek, yang memandu kenderaan tidak berdaftar, kemudian menuju ke Stulang Laut dan menyamun wang tunai berjumlah RM500 daripada seorang lelaki kurang upaya kira-kira 5.30 petang.

“Suspek kemudian mengarahkan lelaki OKU itu merakam perbuatan amang seksual terhadap kanak-kanak itu di dalam motokar yang dipandu oleh suspek.

“Suspek kemudian meninggalkan lelaki OKU itu di tepi jalan tanpa kecederaan manakala kanak-kanak itu yang mengalami trauma ditemui orang awam di hadapan sebuah restoran di Kangkar Pulai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Ayob, suspek ditahan kira-kira jam 4.45 petang Rabu, berhampiran Kampung Kangkar Baru, Yong Peng, oleh Polis Johor dan unit D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor Baru Selatan.

“Pihak polis juga telah merampas sebuah kereta jenis Proton Waja dan telefon bimbit jenis Vivo daripada suspek,” katanya sambil menambah suspek kini ditahan reman dari 16 hingga 20 Disember.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram