Lelaki maut tertimbus gali emas di Kuala Terengganu


  • 112
  • Khamis, 16 Dis 2021

OPERASI pencarian mangsa sukar dijalankan kerana keadaan tanah lembut dan cuaca hujan. — Facebook

SEORANG lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di Kuala Terengganu dalam kejadian pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan dia tertimbus.

"Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.

"Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemukan pada jam 7 malam dan berjaya dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Afandi berkata, usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

Menurutnya lagi, mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lelaki, maut, tanah, melombong, emas