PUSAT Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir dijangka berlaku di jajahan Kuala Krai dan Jeli bermula Jumaat.
Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan itu pada Khamis, beberapa lokasi di dua jajahan tersebut dikenal pasti dijangka berlakunya banjir sekiranya hujan lebat berpanjangan di lembangan Sungai Kelantan.
"Lokasi dijangka banjir di Kuala Krai bermula antara 12 tengah malam hingga 4 pagi adalah Kampung Dabong, Kampung Manek Urai, Kampung Mesek, Kampung Gajah dan kawasan sekitarnya.
"Di Jeli pula dijangka melibatkan Kampung Lawar dan kawasan sekitarnya," kata kenyataan itu.
Selain itu, terdapat beberapa lagi lokasi di jajahan Kuala Krai turut dijangka mengalami banjir pada Jumaat bermula 8 hingga 10 pagi iaitu Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Taman Warisan, Kampung Pertang, Kampung Ngagoh, Kampung Pahi dan Kampung Aur Duri.
Turut dijangka terjejas banjir adalah Kampung Guchil, Kampung Jirat, Kampung Gatal, Kampung Batu Mengkebang, Kampung Keroh, Kampung Batu Jong dan kawasan sekitarnya.
Menurut info banjir JPS, kawasan lembangan Sungai Kelantan yang dikenal pasti adalah lima sungai di Kuala Krai iaitu Sungai Galas, Sungai Lebir, Sungai Nal, Sungai Durian dan Sungai Pahi manakala Sungai Pergau di Jeli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram