HANYA individu yang lengkap vaksin dibenarkan untuk melakukan aktiviti kunjung-mengunjung semasa Hari Krismas mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perayaan Krismas.
Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, persembahan koir di gereja sempena perayaan Krismas dibenarkan dengan syarat perlu mematuhi penjarakan fizikal tidak kurang satu meter serta wajib memakai pelitup atau pelindung muka.
“Upacara sembahyang dibenarkan mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara," kata kenyataan itu.
Aktiviti 'carolling' dari rumah ke rumah bagaimanapun tidak dibenarkan manakala jualan gerai Hari Krismas tertakluk kepada kelulusan dan kawalan Pihak Berkuasa Tempatan.
Tambah kenyataan itu, SOP itu diluluskan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 pada Khamis setelah dibentangkan oleh Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamad Sadique dan akan berkuatkuasa sepanjang tempoh sambutan Krismas, dari 24 hingga 25 Disember.
Halimah turut menyeru penganut Kristian supaya menyambut perayaan Krismas dalam norma baharu dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram